Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno: Tak hairan jika Anwar biayai temubual CNN
Diterbitkan:  Jul 10, 2010 3:55 PM
Dikemaskini: Jul 11, 2010 12:21 AM

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata bukan sesuatu yang menghairankan sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim membiayai program temubualnya dengan Cable News Network (CNN) baru-baru ini dalam usaha untuk meyakinkan kembali para pelobi Yahudi bahawa beliau bukannya anti-Yahudi.

NONE Beliau berkata, bagi mereka yang mengenali Ketua Pembangkang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, akan tahu ia sesuatu yang tidak mustahil dan boleh dibuat Anwar.

"Jika benar Anwar membiayai temu bualnya dengan CNN itu, ia menunjukkan beliau tunduk kepada Amerika Syarikat dan Yahudi...dia akan lakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya untuk jadi Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Besut di Besut, hari ini.

Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengulas dakwaan Presiden Trevino Strategies and Media Inc, Joshua Trevino, bahawa Anwar telah menggunakan lobi rangkaian sahabatnya di CNN, bagi menaikkan semula imejnya di kaca mata dunia.

Trevino yang dipetik melalui tulisan di The New Ledger berkata, perjalanan wawancara itu dikendalikan dan soalan yang dirancang, jelas bertujuan menjayakan misi Anwar untuk menambat semula sokongan pelobi Yahudi.

Dalam rancangan temubual Connector of the Day terbitan CNN minggu lalu itu, Anwar mengambil peluang itu untuk memburukkan negara selain turut mempertikaikan kewibawaan sistem kehakiman negara.

Anwar juga mendakwa pemerintahan negara yang ditunjang oleh Umno mengamalkan sistem pentadbiran korup hingga menyebabkan jurang antara rakyat semakin jauh.

Baru-baru ini, akhbar Washington Post melalui tulisan kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl, mendedahkan bahawa Anwar berada di Washington pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi "menjernihkan" hubungan dengan kelompok Yahudi.

Kunjungan Anwar itu dibuat selepas ketua pembangkang itu yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan ramai tokoh Yahudi dikatakan membuat kenyataan bahawa beliau sebagai anti-Yahudi dalam isu Apco Worldwide.

Sementara itu, di Shah Alam, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata tugas utama Umno dalam senario politik negara kini adalah menangkis dan menjawab segala fitnah dan berita palsu dilemparkan parti pembangkang terhadap pucuk pimpinan negara dan institusi kerajaan.

"Langkah ini perlu berikutan kekeliruan dan pembohongan yang ditimbulkan pembangkang melalui media terhadap institusi kerajaan seperti Felda yang telah banyak berjasa kepada rakyat.

"Kita perlu melihat perkara ini secara serius dan memaklumkan kepada orang ramai terhadap pembohongan itu agar mereka tidak mudah terpengaruh," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Shah Alam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, fitnah kini semakin berleluasa membabitkan pemimpin pembangkang seperti menuduh kerajaan menyokong Yahudi, Felda bankrap dan sebagainya.

Beliau menyifatkan tindakan pemimpin pembangkang membuat fitnah itu sebagai strategi politik terdesak untuk melemahkan kepimpinan Barisan Nasional (BN).

 - Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS