Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Rompakan rumah exco Pahang mencurigakan
Diterbitkan:  Jul 9, 2010 11:28 AM
Dikemaskini: 4:50 AM

Ahli parlimen Batu, Tian Chua menggesa polis menjelaskan dengan terperinci kejadian empat lelaki ditembak mati ketika merompak di kediaman exco Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat pada 5 Julai lalu.

NONE TVSelangor memetik beliau berkata pihak polis tidak menceritakan bagaimana penjenayah tersebut ditembak mati dan ini menimbulkan pelbagai tanda tanya apabila penemuan empat butir peluru dari rumah exco berkenaan turut dapat dikembalikan.

“Pertama sekali polis belum menjelaskan keadaan bagaimana penjenayah ini ditembak mati.Siapakah mereka, adakah merupakan satu desakan dan satu keperluan, untuk membunuh keempat-empat orang.

“Saya percaya tidak ada orang yang melarikan diri, tidak ada survivor dalam kejadian ini, ke empat-empatnya semua ditembak mati dan kita hendak tahu apa senjata yang mereka pakai dan kenapa perlunya membunuh semua.

"Kita rasa pelik, kenapa perlunya perompak curi peluru dan akhirnya dapat dikembalikan. Ini satu cerita yang sangat pelik sekali," katanya di lobi parlimen, semalam.

Jumlah orang awam dirembak mati meningkat

Beliau turut melahirkan rasa bimbang apabila merujuk  jawapan bertulis yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di parlimen mencatatkan jumlah orang awam yang ditembak mati oleh anggota polis meningkat daripada 9 orang kepada 88 orang pada tahun lalu.

NONE “Saya juga ingin memetik statistik rasmi yang dijawap oleh KDN dalam Dewan, pada 2005 - 9 orang ditembak mati dalam insiden polis, 2006 -16 orang ditembak mati, 2007 -13 orang, 2008 -82 orang dan 2009 -88 orang, untuk tahun ini kita belum ada statistik tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, TVSelangor juga melaporkan bahawa ahli parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail mempersoalkan laporan The Star pada 6 Julai lalu berhubung penemuan RM300,000 di rumah exco Pahang itu.

Soalnya, bagaimana seorang exco BN mampu mengumpulkan wang sebegitu banyak, untuk apa wang itu akan digunakan dan mengapa ia tidak disimpan dalam peti simpanan bank.

Akhbar itu, Selasa lalu melaporkan tindakan pantas polis menembak mati empat penjenayah yang memecah masuk rumah Datuk Wan Adnan Wan Mamat di Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

NONE “Saya hendak rujuk pada satu laporan akhbar The Star pada 6 Julai 2010 di mana melaporkan tindakan pantas pihak polis berjaya menembak suspek atau pun yang diklasifikasikan sebagai perompak di dalam satu kejadian pecah rumah di Kuantan yang melibatkan salah seorang exco kerajaan negeri di dalam bidang sukan dan belia.

“Tetapi dalam berita ini menyiarkan bahawa perompak telah melarikan RM300 ribu wang tunai daripada kediaman beliau dan perkara ini telah menimbulkan banyak persoalan bagaimana exco seorang kerajaan negeri boleh menyimpan begitu banyak tunai di dalam simpanan,” kata Azan ( atas ).

'Begitu berani simpan wang sebegitu banyak'

Beliau berkata adalah menjadi perkara luar jangkaan apabila seorang exco berani menyimpan wang yang begitu banyak di kediamannya memandangkan ia boleh menimbulkan pelbagai sangkaan.

"Hari ini begitu banyak berita berkenaan simpanan tunai yang berkaitan kerajaan beberapa isu kita dengar di Pulau Pinang dan sebagainya yang melibatkan kakitangan kerajaan ataupun orang yang diberi amanah oleh kerajaan sebagai pentadbir termasuk exco.

"Kita minta pihak berkuasa menyiasat adakah kebenaran laporan akhbar ini bagaimana seorang exco kerajaan negeri boleh menyimpan begitu banyak tunai di dalam kediamannya yang menjadikan kes ini kes rompakan dengan kesudahan empat orang ditembak mati oleh pihak polis yang juga menimbulkan banyak isu yang mana lima tahun kebelakangan ini banyak kes-kes tembakan yang menyebabkan berlaku kematian kepada suspek atau juga orang-orang yang di anggap penjenayah,” katanya.

Bagaimanapun edisi The Star 's online menukar jumlah berkenaan semalam dengan mengurangkannya daripada RM300,000 kepada RM300.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS