Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz, Mazhar jayakan muzikal Tun Mahathir
Diterbitkan:  Jul 8, 2010 8:36 PM
Dikemaskini: Jul 9, 2010 1:30 AM

Teater Muzikal Tun Mahathir, yang menceritakan kehidupan dan kejayaan perdana menteri Malaysia keempat, pasti memberi kenangan manis kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kerana ia turut dijayakan oleh anak-anak mereka.

    

Teater itu menampilkan Datuk Mukhriz, yang juga timbalan menteri perdagangan Antarabangsa dan Industri, sebagai antara yang menyumbangkan idea bagi jalan cerita manakala Mazhar, yang juga penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), memegang watak pembantu.

Ketua Pengarah Istana Budaya Mohamed Juhari Shaarani berkata pementasan muzikal di Istana Budaya itu disarankan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim tiga tahun lepas bagi menghargai negarawan ulung itu.

    

"Ketika kami meminta izin daripada Tun Dr Mahathir (untuk mementaskan kisah hidupnya), beliau memberi izin dengan syarat jalan cerita muzikal ini haruslah berdasarkan fakta," katanya dalam sidang berita di ibunegara hari ini.

    

Majlis itu turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang merupakan penaung Muzikal Tun Mahathir.

    

Pementasan dari 24 September hingga 4 Oktober itu menampilkan artis-artis terkemuka negara seperti Esma Daniel yang memegang watak Dr Mahathir (dewasa), Erra Fazira (Dr Siti Hasmah), Zizan Nin (Dr Mahathir semasa remaja) dan finalis Idola Kecil 2008 Mohd Shafeiq Shazwan (Dr Mahathir semasa kanak-kanak).

    

Teater muzikal itu, yang dipentaskan bersama oleh Istana Budaya, CRTA Production, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM), diarahkan oleh Dekan Fakulti Teater ASWARA Rosminah Mohd Tahir manakala skripnya ditulis oleh Ismail Kassan.

Sementara itu, penerbit CRTA Production Siti Rohaya Attan berkata muzikal itu mengisahkan tentang Dr Mahathir sejak zaman kanak-kanak sehingga meningkat dewasa yang merangkumi perjalanan hidupnya menjadi doktor Melayu yang membantu bangsanya sebelum muncul sebagai ahli politik yang ada pasang surutnya.

"Dilema dan kejayaan yang digapainya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun juga digambarkan melalui bentuk dialog, lirik lagu dan gerak yang disesuaikan dengan fakta sebenar diperakui sendiri oleh Tun Dr Mahathir," katanya.

    

Siti Rohaya terkenal dalam dunia teater dan pernah menerbit dan mengarahkan teater Assyura (1997), Taman Baginda (1998), Kereta Kencana (1998), Lantai T. Pinkie (2000), Muzikal T.Pinkie (2006), Muzikal Ibu Zain (2008) dan Muzikal Gamat (2009).

    

Tiket berharga antara RM30 dan RM150 dijual di Istana Budaya dan boleh dibeli menerusi www.ticket2u.biz.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS