Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Harakah pula 'diperingatkan' KDN
Diterbitkan:  Jul 6, 2010 3:00 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Selepas dua tabloid politik dipanggil 'mengadap' Kementerian Dalam Negeri (KDN), kini giliran akhbar organ PAS Harakah pula dipanggil ke Putrajaya.

Menurut portal berita kementerian itu iKDN , dalam pertemuan kira-kira setengah jam bermula pada 1.30 tengah hari semalam, Harakah antaranya "diperingatkan peranan dan tanggungjawab penerbit akhbar kepada KDN".

NONE "Niat pertemuan ialah hasrat KDN agar Harakah mematuhi perkara-perkara yang tertakluk dalam garis panduan pemberian permit.

"Antaranya seperti pihak percetakan sewajibnya memberikan KDN 8 naskhah suratkhabar mereka sebaik selesai dicetak," laporan berjudul ' Harakah Bersua KDN' itu dipetik.

Dalam pertemuan yang dipengerusikan oleh Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Datuk Abd Rahim Mohd Radzi itu, Harakah diwakili pengarangnya Taufek Yahya.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Penerbitan dan Teks al-Quran Datuk Zaitun Ab Samad.

Menurut laporan itu, Harakah juga dimaklumkan kesulitan berkaitan perkara itu dapat dielakkan sekiranya garis panduan KDN dipatuhi.

NONE "Juga bukan niat KDN untuk memberi kesusahan tetapi sebagai entiti kerajaan yang bertanggungjawab maka KDN akan bertindak jika garis panduan itu diengkari," demikian menurut laporan itu lagi.

"Tiada perbincangan mengenai artikel-artikel yang terkandung dalam Harakah kerana motif sebenar perjumpaan ini diadakan adalah untuk memperingatkan peranan dan tanggungjawab penerbit akhbar kepada KDN."

Dalam pertemuan itu, Harakah dilaporkan menghormati fungsi KDN dalam memastikan setiap akhbar yang mempunyai permit penerbitan mematuhi apa sahaja perkara yang terkandung dalam akta berkaitan.

"Bahkan beliau (Taufek) juga gembira dengan inisiatif KDN untuk mengadakan perjumpaan seperti ini kerana pastinya banyak perkara yang sebelum ini sering menjadi perbalahan diharapkan akan dapat diselesaikan dengan segera," kata laporan itu lagi.

Reaksi Harakah : KDN diminta ingatkan media perdana juga


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS