Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya dan Nik Amirul Faiz Nik Md Yusof untuk mencabar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang mendakwa beliau mengajar agama tanpa tauliah akhir Februari lalu.

Keputusan itu dibuat oleh panel Hakim Tan Sri Alauddin Sharif, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Tan Sri James Foong.

azlan Pada 1 Mac lalu, Fathul Bari yang juga anak sulung kepada bekas mufti Perlis itu dituduh mengajar agama tanpa tauliah selepas ditahan ketika berceramah di sebuah sebuah pusat pengajian agama di Kuala Pilah.

Ulama muda yang berkelulusan sarjana dari Jordan itu dituduh bawah Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah 2003 Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah dan dan mohon dibicarakan.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin berkata pihaknya mendapat kebenaran itu selepas permohonan petisyen mereka bagi mendapat pengisytiharan bahawa seksyen 53 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan adalah terbatal dan tidak sah.

"(Ini kerana) DUN negeri tidak ada kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menggubal seksyen 53 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana kesalahan mengajar Islam tanpa tauliah tidak bersalahan dengan rukun-rukun dan perintah-perintah agama Islam," katanya.

Kamarul Hisham berkata pihaknya telah memfailkan petisyen tersebut pada 19 April lalu.

Sebelum ini dilaporkan permohonan petisyen itu difailkan di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi Seremban bagi mengisytiharkan Mahkamah Syariah Negeri Sembilan tiada bidang kuasa untuk membicarakan sesuatu kesalahan di bawah seksyen tersebut.

Fathul Bari dan Nik Amirul bersama dua pengikut dua pengikutnya ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan pada jam 11.30 pagi 28 Februari lalu.

Fathul Bari ditahan sewaktu menyampaikan ceramah - berhubung topik Maulidur Rasul, akidah dan perpaduan umah - di Maahad Ittiba Sunnah, berhampiran dengan Jalan Seremban-Kuala Pilah.

Sekumpulan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan anggota polis hadir dan menghentikan program tersebut.

Jika disabitkan bersalah, Fathul Bari dan tiga lelaki tersebut boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS