Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz memohon maaf di Dewan Rakyat hari ini atas kesilapan maklumat berhubung cadangan memindahkan bangunan Parlimen ke Putrajaya.
Sebelum ini, dalam jawapan bertulis kepada ahli parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) awal bulan, Nazri yang menjaga halehwal Parlimen berkata, kabinet telah memutuskan untuk memindahkan bangunan Parlimen ke Putrajaya.
"Jawapan bertulis itu diberikan tanpa mendapat kelulusan daripada saya. Perkara itu boleh berlaku kerana tafsiran yang dibuat oleh setiap pegawai tentang apa yang telah diminitkan dalam minit mesyuarat Kabinet.
"Sebab itu perkara ini berlaku. Jadi saya nak minta maaflah kerana perkara ini berlaku dan apa yang berlaku tidak patut berlaku tetapi sudah pun berlaku dan saya bertanggungjawab buat pembetulan di Dewan ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Rakyat, hari ini.
Kenyataannya itu bercanggah dengan kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Mansur Isnin lalu.
Nazri (kanan) menjelaskan bahawa perkara itu berlaku kerana pegawainya telah menghantar jawapan bertulis ke parlimen, tanpa terlebih dahulu menyemak dengannya. Ini, tambahnya, bertentangan dengan amalannya di pejabatnya.
Katanya, atas sebab-sebab tertentu jawaban tersebut tidak dirujuk kepadanya.
Bagaimanapun, tegas Nazri, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan tidak menyalahkan pegawai berkenaan kerana ia merupakan isu dalaman.
Dalam jawapan bertulis berkenaan, Mohamed Nazri berkata Jemaah Menteri baru-baru ini memutuskan Bangunan Parlimen yang baru didirikan di Putrajaya manakala bangunan lama dibaik pulih dan dikekalkan sebagai bangunan warisan.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata isu perpindahan Bangunan Parlimen itu timbul selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam penilaian ke atas bangunan itu melaporkan bahawa terdapat kemerosotan keselamatan di bangunan yang berusia 50 tahun itu.
Berikutan itu, JKR mengemukakan tiga cadangan iaitu sama ada kerajaan membaik pulih bangunan sedia ada, membina bangunan baru dan membaik pulih bangunan sedia ada atau menaik taraf bangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan bangunan lama dibaik pulih sebagai bangunan sejarah.
"Bagaimanapun semua itu sedang diteliti, belum ada keputusan muktamad," katanya.