Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar nafi Zaid 'anak emas'
Diterbitkan:  Jun 29, 2010 5:47 PM
Dikemaskini: Jun 30, 2010 6:16 AM

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan dakwaan kononnya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim diberi keistimewaan ataupun ‘anak emas’ di dalam parti itu.

NONE Dakwaan itu timbul berikutan perlantikan Zaid yang tewas pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor yang lalu dilantik sebagai pengerusi PKR Wilayah Persekutuan pada permukiman parti itu di Shah Alam, Ahad lalu.

"Nurul Izzah adalah pewaris saya,” gurau ketua pembangkang itu, merujuk kepada anak sulungnya yang juga ahli parlimen Lembah Pantai.

Sebaliknya, menurut Anwar, perlantikan Zaid itu hanya sebagai memberi peranan khusus kepada tokoh-tokoh dalam PKR yang belum mempunyai tugas yang khusus.

"Ini isu Parti Keadilan Rakyat. Ada tokoh-tokoh yang belum ada tugas khusus kita bagi tugas.

"Ada yang jaga Pulau Pinang, ada yang jaga Wilayah, ada yang jaga Selangor. Tidak ada kaitan pun dengan apa-apa selain itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya wartawan pada sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat di Parlimen hari ini.

NONE Anwar bagaimanapun diasak dengan soalan wartawan yang ingin tahu mengapa ada ahli yang lebih lama dalam PKR berbanding Zaid, namun tidak mendapat ‘keistimewaan’ sama.

Namun soalan itu ditepis apabila Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang mencelah dengan melemparkan perumpamaan berikut kepada wartawan.

"Ketua Pemuda Umno pun tidak ada dalam kabinet," jelasnya sambil disambut gelak ketawa pihak media.

Hadir sama pada sidang media itu adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan kepimpinan ketiga-tiga parti yang lain.

Majlis pemukiman PKR hujung minggu lalu melantik Zaid sebagai pengerusi PKR Wilayah, manakala menggantikan Azmin Ali yang mengambil alih tugas Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai pengerusi PKR Selangor.

VIDEO | 2:36 min


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS