Kesatuan Kakitangan PERKESO menangguhkan rancangannya untuk berpiket hari ini berikutan kesediaan menteri sumber manusia untuk mengadakan rundingan berhubung tuntutan kesatuan tersebut esok.
Keputusan untuk berpiket hari ini dibuat pada 14 Jun lalu, kerana PERKESO didakwa gagal melaksanakan persetujuan yang dicapai dalam rundingan antara kesatuan dan pihak pengurusan yang diwakili pengerusi lembaga dan ketua eksekutif pada 20 Mei lalu.
Surat bertarikh 14 Jun yang dihantar kepada ahli kesatuan itu, menyebut bahawa piket akan diadakan hari ini selama 50 minit mulai jam 1.05 tengahari.
Piket itu dirancang diadakan di hadapan Menara PERKESO di Jalan Ampang sehingga tuntutan kesatuan dapat diselesaikan.
Ketika dihubungi Malaysiakini, setiausaha kesatuan itu, Rashidi Ismail mengesahkan piket hari ini ditangguhkan.
Katanya keputusan sama ada untuk meneruskan piket tersebut bergantung kepada keputusan perjumpaan dengan menteri berkenaan, Datuk Dr S Subramaniam esok.
"Perbincangan esok akan bermula jam 9 pagi esok. Kesatuan akan diwakili oleh jawatankuasa kesatuan untuk membincang beberapa tuntutan kami,'' katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu menyatakan tuntutan tersebut kerana 'ia tidak pernah didedahkan kepada pihak media'.
Ditanya prospek rundingan tersebut, Rashidi berkata: "Insya-Allah, (diharap tuntutan) dapat diselesaikan."