Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Pemuda PAS mencabar pihak-pihak tertentu supaya bertanggungjawab dan mengemukakan bukti kukuh mengenai dakwaan yang mengaitkan presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan aktiviti keganasan.

NONE Ketuanya Nasruddin Hassan ( kiri ) berkata, sekiranya tidak dapat berbuat sedemikian, mereka hendaklah menarik balik segala tuduhan yang dibuat dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

 "...atau mereka terpaksa berdepan pula dengan tuduhan rakyat bahawa merekalah pengganas sebenar yang suka mencetus pertelingkahan dan melemparkan fitnah tanpa asas ," katanya.

Selasa lalu, memetik sumber-sumber, Malaysiakini melaporkan Abdul Hadi, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas mufti negeri Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan muftinya sekarang Dr Juanda Jaya dikaitkan dengan 'lingkaran' Wahabi, Jemaah Islamiah (JI) dan keganasan.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Zamihan Mat Zin ( bawah ) - yang dikatakan membuat dakwaan itu - menjelaskan beliau hanya menyebut nama Dr Asri seorang dalam taklimat anjuran polis itu.

Menulis dalam blognya semalam, Nasrudin berkata, perancangan pihak tertentu untuk mensabitkan tokoh-tokoh tertentu sebagai pengganas telah "terdedah kepada umum sebelum berjaya membuat tangkapan".

azlan "Tentunya pendedahan yang dibuat oleh pihak media menyukarkan mereka bertindak.

"Justeru mereka terpaksa berdepan dengan persepsi rakyat dan sebagai sebuah kerajaan yang sedang membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum, pasti sahaja mereka terpaksa mengambil kira soal persepsi rakyat," katanya.

Beliau juga menulis, mesyuarat terbaru dewan itu mengambil sikap menentang sekeras-kerasnya "niat dan tindakan jahat" sesiapa yang menyenaraikan Abdul Hadi sebagai pengganas.

Menurut beliau tuduhan itu - yang diibaratkan sebagai "lagu lama kembali kedengaran" - seolah-olah mahu menjatuhkan reputasi seorang pejuang Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS