Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zamihan Mat Zin membuat laporan polis petang ini berhubung 'kebocoran' maklumat dalam taklimatnya mengenai keselamatan negara yang dikatakan mengaitkan beberapa tokoh tempatan dengan Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

azlan Ketika dihubungi Zamihan - penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di bawah JAKIM, - mengesahkan membuat laporan di balai polis Bandar Baru Bangi lewat petang tadi.

Katanya, beliau  membuat laporan polis tersebut kerana ia merupakan taklimat tertutup dan sulit.

Oleh itu, tambah, perkara itu tidak seharusnya sampai ke pengetahuan pihak ketiga iaitu media.

"Kenapa ada kebocoran sedangkan ia taklimat tertutup?" soal Zamihan.

Dalam taklimat tersebut, Zamihan dikatakan mengaitkan beberapa nama dengan 'lingkaran' keganasan, iaitu bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin; mufti Perlis Dr Juanda Jaya, mantan menteri besar negeri itu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, Zamihan menjelaskan, dalam pembentangan taklimatnya mengenai terorisme agama, beliau hanya menyebut nama Dr Mohd Asri sahaja.

Zamihan juga memberitahu dalam laporan polisnya beliau turut membuat aduan terhadap Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang didakwanya membuat kenyataan yang salah tentang dirinya.

Zamihan mendakwa, Saifuddin, seperti disiarkan dalam hampir semua akhbar, cuba mengaitkannya dengan dakwaan menuduh empat pemimpin agama dan politik dengan Wahabi, JI dan keganasan.

"Beliau sengaja dengan niat jahat hendak menjejaskan kredibeliti saya sebagai penjawat awam," katanya.

"Kenapa cuba mencetuskan polemik baru sedangkan beliau boleh berjumpa dan berbincang dengan saya (sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan)"

Sementara itu, pengarah pasukan operasi khas polis persekutuan (operasi/keganasan) Datuk Fuzi Haron kelihatan enggan ditarik sekali dalam persoalan itu.

"Ia bukan salahnya (Zamihan). Beliau telah menyempurnakan kajiannya. Dan sekarang terpulang orang lain bagaimana untuk mentafsirkannya," kata Fuzi.

"Kami tahu bahawa ramai orang tidak gembira (dengan taklimat itu). Saya tahu. Saya juga tidak mahu terperangkap di tengah-tengahnya. Saya tak mahu cari masalahlah," katanya.

Ditanya sama ada "dapatan" Zamihan itu akan digunakan oleh polis bagi melawan keganasan, Fuzi berkata:

"Saya tidak boleh komen tentang perkara ini lagi. Ini perkara yang sensitif."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS