Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Asri dakwa Zamihan terus berdusta
Diterbitkan:  Jun 24, 2010 5:57 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini terus mengasak Zamihan Mat Zin dengan mendakwa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu "terus berdusta" berhubung pembentangannya mengenai "terorisme agama" baru-baru ini.

Menurut Dr Asri, dalam bukunya Bid'ah: Istilah yang disalahfahami - yang dirujuk Zamihan bagi mentafsrikan "Dr Asri sepemikiran dengan Wahabi" - tidak pun menyamakan Maulud Nabi dengan amalan Kristian.

"Saya mencabar Zamihan membuktikan ayat dan muka surat mana yang menyebut hal seperti itu," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Zamihan malam tadi yang menjelaskan dalam pembentangannya kepada pihak penguatkuasa dan wakil-wakil universiti Isnin lalu, beliau hanya menyebut "Dr Asri sepemikiran dengan Wahabi".

Zamihan dilaporkan berkata, tafsiran itu dibuat berdasarkan tulisan Dr Asri yang didakwa "menyamakan (sambutan) Maulud Nabi dengan amalan orang Kristian" - yang disifatkan sebagai pandangan yang "keras" dan boleh menjurus ke arah pendekatan "radikal" di negara ini.

Dalam kenyataan balasnya hari ini, Dr Asri berkata persoalan Maulud Nabi itu pernah diulasnya dalam sebuah artikel dalam akhbar Mingguan Malaysia sebelum ini, tetapi tidak membuat persamaan sebegitu.

Katanya, dalam tulisan itu beliau menulis: "Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi SAW dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar."

'Hanya sebut, tak nyatakan sokong'

Dalam artikel itu juga, tambahnya, beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak menjadi "manusia bermusim" yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu.

Dr Asri bagaimanapun mengakui pernah memetik pandangan tokoh tafsir Imam Ibn Kathir berhubung cadangan supaya tarikh Maulid Nabi dijadikan tarikh kiraan tahun Islam yang ditolak oleh khalifah kedua Islam Umar Al-Khattab.

Dalam artikel itu juga tambahanya, beliau turut memetik pendapat tokoh politik Jordan Dr Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris bahawa hikmah di sebalik penolakan Umar itu agar kita berbeza dengan Yahudi dan Kristian.

"Saya hanya menyebut pendapat tersebut, tetapi tidak menyatakan menyokongnya," jelas.

Sehubungan itu, Dr Asri mendakwa Zamihan telah memberikan "taklimat yang dusta lagi bohong" kepada pegawai keselamatan dan TNC-TNC seluruh negara.

"Persoalannya, bagaimana kerajaan atau pihak polis boleh membenarkan pendustaan seperti ini dibuat dalam satu taklimat penting mengenai keselamatan negara?"

"Di sudut yang lain, jika ada pihak yang tidak ingin mengadakan perayaan Maulud (Nabi) seperti kerajaan Kelantan atau Perlis, apakah pula kaitannya dengan keselamatan negara? Jelas, isu keselamatan negara telah menjadi mainan pihak tertentu dan dipermudah-mudahkan.

"Isu ini menggambarkan betapa suasana pengurusan keselamatan negara diperjudikan atas perkara-perkara remeh seperti ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS