Penyertaan golongan ulama dalam Umno bukan satu perkara baru, kata mantan presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, kata beliau, Umno sentiasa terbuka kepada golongan ulama yang ingin menyertai parti itu.
Beliau menegaskan demikian ketika ditanya sama ada Umno berusaha menarik lebih ramai ulama menyertai parti itu supaya setanding dengan PAS.
Ini ekoran laporan Umno Online yang memetik setiausaha kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusof mengenai kira-kira 100 ulama, akan menyertai parti itu Jumaat ini, termasuk bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Mantan perdana menteri itu memberitahu demikian selepas satu majlis di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Menurut Dr Mahathir lagi, Umno sentiasa dianggotai para ulama yang menasihati parti itu berhubung hal-hal keagamaan.
"Bukan satu perkara baru apabila ulama menyertai Umno. Malah, pihak yang membentuk PAS dahulunya adalah pemimpin Umno.
"Tapi kerana mereka tidak dipilih untuk bertanding (dalam pilihan raya), mereka meninggalkan parti," katanya lagi.