Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan meluluskan lesen judi sukan sekiranya masih berkuasa.
"Kalau saya jadi kerajaan, saya luluskanlah," katanya ketika ditemui media selepas satu majlis di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Beliau ditanya oleh wartawan sama ada kerajaan perlu segera meluluskan lesen berkenaan.
Katanya lagi, kerajaan tidak sepatutnya menghalang golongan masyarakat yang dibolehkan berjudi.
"Orang Cina main judi selalu, bagi dia tak haram. Buat apa kita nak sekat dia.
"Apa pasal kita nak larang? Tak boleh halang dia makan babi sebab bagi dia tak haram," katanya lagi.
Pada 14 Jun lalu, Mahathir berkata bantahan pembangkang terhadap usaha meluluskan lesen judi sukan di negara ini bukanlah disebabkan ajaran agama, tetapi demi kepentingan politik semata-mata.
"Bantahan itu kerana politik, bukan kerana Islam. Takkanlah DAP pun hendak dokong ajaran Islam. (Bila) DAP pun dapat sertai (bantahan), ini (menggambarkan) politik parti pembangkang hendak cari isu.
"Sedangkan dalam muktamar PAS ada cadangan suaya semua jenis judi diharamkan, tetapi PAS tak hendak," katanya ketika ditanya tentang bantahan pembangkang melalui pelbagai cara seperti ceramah dan demonstrasi.