Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemerkasaan hak asasi di negara-negara membangun sering mendapat penentangan daripada pemerintah disebabkan interpretasi berbeza terhadap konsep hak berkenaan, menurut para ilmuwan di seminar Agama dan Hak Asasi Manusia hari ini.

Salah satu sebab yang mengundang keadaan ini ialah pendekatan pemisahan (separationist) yang digunakan dalam pentakrifan berhubung agama dan kebebasan hak asasi, kata seorang pakar undang-undang daripada University of London.

islam hadhari Profesor Mashood A Baderin berkata pandangan seperti itu wujud disebabkan hak asasi ditanggap berdasarkan konsep kemanusiaan sebagai konsep yang sekular semata-mata.

"Walaupun kebebasan beragama diiktiraf sebagai satu bentuk hak asasi melalui pemahaman ini, agama itu sendiri disanggap sebagai satu amalan sosial atau politik yang timbul daripada tindakan kemanusiaan atau sekular, yang tidak ada kena mengena dengan (perkara) spiritual atau ketuhanan," katanya.

Jelasnya, pandangan seperti ini menimbulkan risiko apabila hak asasi manusia digambarkan sebagai ideologi alternatif atau satu perkembangan agama sekular yang baru.

Hak asasi dilihat 'agama sekular'

"Malah, ramai penganut sesuatu agama yang melihat hak asasi manusia daripada perspektif pertandingan antara ideologi sekularisme di satu pihak, dan kesemua agama di pihak yang lain.

"Ini tidak begitu sihat untuk mengembangkan hak asasi manusia di kebanyakan negara Islam," katanya lagi di seminar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini.

Dalam ucaptamanya itu, Mashood juga berkata, pandangan fahaman pemisahan antara agama dan hak asasi itu disuburkan lagi dengan tindakan pencabulan hak asasi oleh kerajaan Islam.

Katanya, pandangan seperti itu dikuatkan lagi dengan tindakan kerajaan berkenaan mempertahankan tindakan mereka dengan merujuk kepada amalan atau undang-undang Islam.

"Pada pandangan saya, cara terbaik untuk memastikan kepatuhan dalam keadaan seperti itu adalah dengan menentang pandangan berkenaan dengan bukti-bukti (berdasarkan hukum Islam) yang menunjukkan bahawa Islam sebagai agama ataupun Islam sebagai sistem perundangan tidak menyokong pencabulan hak asasi manusia," katanya lagi.

Dalam sesi pembentengan sebelum itu, Professor Abdul Aziz Bari daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata konsep hak asasi yang diamalkan di Barat sering ditentang dengan alasan nilai tradisi tempatan.

"(Ini) termasuk nilai Asia, kepentingan masyarakat dan penolakan terhadap falsafah invidualisme.

Pertembungan Timur-Barat

"Ini tidak semestinya benar kerana dalam masyarakat berkenaan sering berlaku penindasan, rasuah dan kemiskinan.

"Dengan kata lain, tuntutan dan pemerkasaan hak asasi dilihat sebagai ancaman terhadap elit yang berkuasa," katanya dalam kertasnya bertajuk 'Konsep dan Amalan Hak Asasi Sejagat: Satu Analisis'.

Katanya lagi, falsafah mengenai hak asasi telahpun berkembang menjadi satu fahaman politik di Barat tetapi ia masih belum dilihat di negara-negara membangun.

Tambahnya, Perisytiharan Kaherah 1990 merupakan rujukan utama Dunia Islam berhubung hak asasi dalam Islam, sedangkan terdapat rujukan utama masyarakat dunia ialah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UHDR) 1948.

Selain itu terdapat juga persetiaan antarabangsa lain yang dipersetujui sebagai Piagam Bangsa-bangsa Bersatu.

"Melihat kepada tahap demokrasi dan kebebasan yang ada di kebanyakan negara umat Islam amat jelas bahawa (Perisytiharan Kaherah) tidak dihormati apalagi dilaksanakan.

"Umat Islam perlu menunjukkan amalan yang selaras dengan tuntutan agama dalam memperkenal dan mempromosi hak asasi yang dianjurkan oleh Islam.

"Jika ini tidak dilakukan, sukar untuk mereka membuktikan bahawa hak asasi yang dikandung oleh Perisytiharan Kaherah 1990 itu relevan dan adil untuk masyarakat moden," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS