Kaunter di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak lama lagi akan dijadikan sebagai kaunter guna-sama bagi membolehkan orang ramai membuat permohonan pasport dengan Jabatan Imigresen.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong, berkata projek perintis kaunter itu akan dilakukan di pejabat cawangan JPN di Puchong, Kepong dan Gombak.
Katanya, langkah itu antara usaha penambahbaikan proses dan prosedur kerja agensi dan jabatan dalam kementerian yang sedang dilakukan bagi memastikan mutu perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
"Di samping itu, ia bagi mengelak berlakunya penyelewengan dan kelemahan tertentu," katanya pada majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di Putrajaya hari ini.
Ka tanya, usaha sedang diambil untuk menambah sistem online bagi semua jabatan dan agensi kementerian.
"Dalam hal ini, jabatan dan agensi berkenaan perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan sistem sedia ada ditambah baik dan dipertingkatkan," katanya.
Lee berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh kementerian untuk mengurangkan jenayah termasuk mengaktifkan semula bandar selamat yang sedang dilaksanakan di beberapa kawasan panas.
Katanya, pelancaran "Balai League Table" akan dilakukan di KLCC dalam masa terdekat.
"Inisiatif ini bertujuan menilai prestasi balai polis berdasarkan kriteria ditetapkan seperti kejayaan pengurangan kadar jenayah di bawah jagaan balai tersebut," katanya.
- Bernama