Sebuah universiti terkemuka Bangladesh tertutup Ahad lalu selepas lima orang cedera dalam rusuhan mahasiswa yang menuntut masa bagi menonton bola sepak Piala Dunia, kata polis.
Pelajar yang membawa kayu mengamuk di Universiti Kejuruteraan dan Teknologi di ibukota Dhaka pada hari Sabtu, menuntut tempoh penggal pengajian dipendekkan bagi membolehkan mereka menonton perlawanan Piala Dunia, kata ketua polisi tempatan, Rezaul Karim.
"Para siswa baru mahu kampus ditutup supaya mereka dapat menyaksikan Piala Dunia Tetapi beberapa mahasiswa senior yang menghadapi peperiksaan, tidak mahu - maka berlaku beberapa pergaduhan," katanya.
"Pihak universiti mengadakan mesyuarat tergempar dan memutuskan untuk menutup segera (kampus)," katanya, sambil menambah ia ditutup seminggu lebih awal daripada tempoh akhir penggal pada 26 Jun.
Selama Piala Dunia 2006, puluhan mahasiswa cedera dalam pergaduhan di universiti yang sama.
"Kami telah menutup universiti untuk mengelakkan sebarang masalah, kami berharap untuk membuka semula selepas selesai Piala Dunia," Jibon kata ketua halehwal pelajar, Jibom Podder kepada AFP.
Bangladesh memiliki budaya kekerasan politik mahasiswa, khususnya di kampus-kampus universiti awam. Semua tiga parti politik utama di negara itu mempunyai sayap mahasiswa yang kuat, yang mereka biayai.
Penduduk negara itu yang biasanya merupakan peminat kriket, kini dilanda demam Piala Dunia, walaupun pasukan negara itu tidak layak menyertai.
Minggu lalu, peminat yang marah, bertindak merosakkan kenderaan dan menyerang pusat pengagihan tenaga apabila bekalan terputus dan mengganggu liputan satu perlawanan.