Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan digesa mendedahkan nama pengganas dan pertubuhan mereka jika terdapat bukti, mereka cuba menyerang tempat ibadat bukan Islam di negara ini.
Pengerusi kumpulan hak asasi manusia, Citizens International, SM Mohamed Idris dalam kenyataannya berkata jika tidak ada bukti terhadap jenayah itu, mereka yang menyebarkan berita palsu berkenaan dengan tujuan untuk memburuk-burukkan Islam perlu diseret ke mahkamah.
“Kami menggesa Ketua Polis Negara supaya mendakwa mereka (pengganas) di mahkamah jika terdapat bukti yang menyokong dakwaan bahawa mereka merancang untuk memusnahkan kuil itu.
“Jika tidak terdapat bukti terhadap jenayah yang didakwa itu, maka mereka yang bertanggungjawab mereka-rekakan dan menyiarkan kenyataan palsu untuk memburuk-burukkan Islam dan umat Islam itu hendaklah dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Dalam laporan media arus perdana hari ini dilaporkan kononnya pengganas merancang untuk memusnahkan kuil Batu Caves di Kuala Lumpur dan kuil Kuan Yin di Air Itam, Pulau Pinang.
“Berita itu dipetik daripada ‘sumber perisikan’ yang tidak mendedahkan nama mereka dan ini merupakan taktik yang sering digunakan oleh Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) dan Mossad Israel untuk menyebarkan propaganda hitam dalam media bagi memburuk-burukkan lagi imej Islam dan para penganutnya,” kata Mohamed.
‘Pengganas’ itu didakwa kononnya mempunyai hubungan dengan Al Qaeda dan Jemaah Islamiah, organisasi yang dilabelkan oleh Amerika Syarikat sebagai pertubuhan pengganas Islam.
Mohamed berkata menurut sumber itu, lebih menarik lagi sasarannya adalah kuil Hindu yang menjadi tempat suci bagi orang India dan kuil Buddha bagi orang Cina.
"Ia merupakan cara yang paling baik untuk menyalahkan Islam dan umat Islam sebagai pembekal keganasan di mata pengikut kedua-dua agama ini."
Berita yang amat membimbangkan ini, katanya, melainkan disokong oleh bukti yang konkrit, akan menimbulkan ketegangan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Beliau juga memberi contoh - Detachment 88 - yang diwujudkan oleh kerajaan Amerika Syarikat dan Australia dengan menyediakan peruntukan dan latihan untuk pegawainya.
Atas alasan untuk memerangi keganasan, Mohamed berkata ia hanya merupakan alat kerajaan asing untuk mendakwa orang Islam yang berjuang untuk mempertahankan maruah ummah dan kedaulatan negara Indonesia.