PAS Kedah tidak menolak kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.
Setiausahanya, Mohamad Yusof Husin berkata kemenangan Pakatan dalam pilihan raya kecil parlimen Sibu bulan lalu membimbangkan BN mengenai Sarawak jatuh ke tangan pembangkang jika diadakan pilihan raya berasingan.
"Sarawak, kalau jatuh ke tangan pembangkang (jika pilihan raya berasingan) akan memberi kesan yang besar di Semenanjung," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Sehubungan itu, beliau meramalkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada pertengahan Mac atau awal bulan April tahun depan.
Mohamad Yusof mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin bahawa kerajaan tidak akan membubarkan parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokongnya dan tarikhnya bakal "mengejutkan semua pihak".
Baru-baru ini kajian Merdeka Centre for Opinion Research mendapati 72 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Najib berbanding 69 peratus semasa beliau mula menjadi perdana menteri.
Mengulas lanjut, Mohamad Yusof yang juga seorang senator, menganggap Malaysia "sebuah negara pelik" kerana tarikh pilihan raya menjadi "satu rahsia" yang hanya diketahui oleh perdana menteri.
"Apa salahnya (kalau Najib) umum sekarang (bila tarikhnya)... Kita sebagai parti politik, kita bersedia (menghadapi pilihan raya) pada bila-bila masa.
"Jentera kita sudah bersedia walaupun ia diumumkan secara mendadak selepas tiga tahun, dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.
Bagaimanapun katanya, setakat ini PAS Kedah yakin dapat mempertahankan kerajaan negeri tersebut jika pilihan raya umum diadakan tahun hadapan.
Katanya, ini kerana rakyat melihat sendiri kelicinan pentadbiran kerajaan negeri, termasuk menguar-uarkannya melalui ceramah penerangan dan melalui risalah 'Warta Kedah".
Sementara itu, PAS Perak pula tidak terkejut sekiranya pilihan raya umum diadakan awal, setelah kajian mendapati rakyat berpuas hati dengan prestasi pentadbiran Najib.
Setiausaha PAS Perak Misbahul Munir Masduki bersependapat bahawa Najib bakal mengumumkan serentak pilihan raya umum dan pilihan raya negeri Sarawak tahun depan.
"Beliau bimbang (dengan kekalahan BN di Sibu). Persepsi rakyat akan berubah," katanya sambil menambah bahawa PAS dan Pakatan sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum tahun depan.
Tambahnya, PAS Perak juga mahu pilihan raya umum dipercepatkan bagi menyelesaikan masalah politik berlaku di negeri itu termasuk mengelak dari ADUN yang melompat.
Manakala ketua penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir pula berkata, pilihan raya umum mungkin tidak diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.
"Kalau di peringkat persekutuan, saya tidak menjangka (pilihan raya umum diadakan) begitu awal sehingga masalah dalam parti komponen BN, ternasuk MCA dan MIC diselesaikan. Bagaimanapun PAS Selangor bersedia," katanya.