Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Norza bebas tuduhan rasuah, saksi belot
Diterbitkan:  Jun 17, 2010 12:03 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Norza Zakaria dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di Temerloh pagi ini selepas pihak pendakwa tidak mahu meneruskan kes kerana saksi belot.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi ejennya Halimi Kamaruzzaman untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung UMNO Mac tahun lalu.

norza zakaria interview 080807 restricted Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 20 Jan tahun lalu di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, Temerloh.

Halimi, 47, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan pula didakwa atas dua tuduhan memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak Mohamad Norza pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pada 4 Jun lalu, tiga saksi dalam kes rasuah Norza ( kiri ) dan ejennya, Halimi Kamaruzzaman, dihadapkan ke Mahkamah Majistret kerana dituduh memberi keterangan palsu di mahkamah.

Mereka adalah kontraktor, Mohammad Anuar Mohd Yunus, 43, guru sekolah, Jalaluddin Johan, 55, dan pembantu penerangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Pahang, Mohd Sabri Aziz, 45.

Semua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.

Perbicaraan Jalaluddin, ditetapkan pada 24 dan 24 November, manakala perbicaraan Mohammad Anuar dan Mohd Sabri akan berjalan serentak pada 29 dan 30 November depan.

Mengikut pertuduhan, Jalaluddin dan Mohd Sabri didakwa memberikan keterangan palsu ketika perbicaraan kes rasuah berkenaan di Mahkamah Sesyen Temerloh pada 13 Mei lalu, manakala Mohammad Anuar didakwa melakukan kesalahan yang sama pada 12 Mei.

Keterangan mereka itu didakwa tidak selaras dengan kenyataan yang dibuat kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang pada 20, 21 dan 23 Januari tahun lalu.

Semua kenyataan dan keterangan mereka itu direkodkan di pejabat SPRM Pahang Cawangan Temerloh.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pada 14 Mei sebelum itu, lima lagi saksi kes tersebut didakwa di mahkamah yang sama, atas tuduhan yang sama.

Mereka ialah Datuk Khadri Musa, 47; Datuk Yusof Jamaludin, 53; Nor Azhar Abdul Latif, 48; Nasaruddin bin Abdullah, 47; dan Shaiful Azman Mokhtar Affendi, 46.

Khadri merupakan seorang ahli perniagaan, manakala Yusof pula berkhidmat sebagai pengarah jabatan hal ehwal khas (JASA) Pahang. Nor Azhar pula merupakan pembantu penerangan JASA Daerah Maran, Pahang. Nasaruddin merupakan seorang Kontraktor manakala Shaiful Azman adalah pegawai Seranta di Unit Seranta Felda, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya.

 

 

ADS