Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahrain gelar Anwar 'Ketua Pembohong'
Diterbitkan:  Jun 16, 2010 5:54 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, patut digelar "Ketua Pembohong" kerana sentiasa membuat pembohongan tanpa rasa malu demi mencapai hasratnya untuk berkuasa, kata Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) di Dewan Rakyat hari ini.

NONE "Pembohongan demi pembohongan terus dilakukan tanpa sebarang rasa malu demi mencapai matlamat merampas Putrajaya. Bak kata seorang rakan beliau, itulah kelebihan Permatang Pauh, dia langsung tiada maruah dan harga diri," katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Permatang Pauh adalah kawasan Parlimen yang diwakili Anwar.

Beliau berkata, antara pembohongan yang dilakukan Anwar ialah dalam isu APCO, skandal seks membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR), isu judi di Sabah serta tuduhan kononnya Ahli Parlimen daripada PKR ditawarkan RM2 juta untuk lompat parti.

"Sekarang beliau membawa dongeng baru kononnya kami menerima sogokan RM2 juta. Saya tahu beliau membuat pembohongan itu kerana terdesak kerana beberapa cabang PKR bercadang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau semasa kongres PKR di Kota Baharu baru-baru ini," katanya.

Zahrain adalah antara beberapa wakil rakyat PKR yang berpaling tadah meninggalkan parti itu dengan alasan hilang kepercayaan terhadap Anwar.

Zahrain juga menasihatkan Kerajaan Persekutuan supaya tidak mengikut kerajaan Selangor yang membuat janji setinggi langit.

"Kalau air laut dijadikan tinta nescaya tidak cukup untuk menulis janji-janji mereka," katanya.

 - Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS