Majlis perasmian Fiesta Kelantan 2010 yang sepatutnya dirasmikan Pemangku Raja Kelantan dan dihadiri Datuk Seri Najib Razak di pekarangan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV di Kota Bharu, malam ini akan dipulaukan kerana penganjur mungkir janji dengan tidak membenarkan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat berucap.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan keputusan memulaukan perasmian itu diambil kerana penganjur bersama - Syarikat Red Carpet juga telah memungkir beberapa perjanjian ketika mesyuarat bersama kerajaan negeri.
Antaranya, mereka telah bersetuju perasmian disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra, manakala terdapat dua ucapan akan disampaikan - pertama ucapan aluan dari Nik Aziz selaku tuan rumah dan ucapan dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata pada 13 Jun lalu, kerajaan negeri menerima arahan daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) memaklumkan bahawa pejabat Perdana Menteri "tidak mahu menteri besar berucap".
"Kita tidak tarik diri, tapi mereka yang pinggirkan kita, pinggirkan menteri besar. Ia memalukan MB selaku tuan rumah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang ini.
Takiyuddin berkata kerajaan negeri dan Syarikat Red Carpet adalah penganjur bersama bagi majlis tersebut yang akan berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini.
Menurutnya lagi, dalam publisiti seperti kain rentang telah menguar-uarkan bahawa perdana menteri akan merasmikan majlis tersebut dan bukan Pemangku Raja.
"Jadi telah berlaku percanggahan persefahaman. Pemangku Raja yang sepatutnya merasmikan malam ini, telah digambar seolah-olah bahawa perdana menteri yang akan merasmikan. Kita kesal," katanya
Takiyuddin yang juga pengerusi jawatankuasa induk pesta itu berkata, beliau turut menerima surat daripada pejabat Sultan tengahari tadi yang memaklumkan bahawa Pemangku Sultan tidak akan berangkat pada malam ini atas "alasan-alasan tertentu".
Sehubungan itu, Takiyuddin yang juga ADUN Bunut Payong berkata mesyuarat exco juga memutuskan untuk menarik diri daripada program itu yang berlangsung sehingga 19 Jun ini.
Namun katanya, kerajaan negeri tidak akan menghalang sebarang aktiviti yang dijalankan sepanjang Fiesta Kelantan selama tiga hari itu selagi ia memenuhi syarat yang diluluskan pihak berkuasa tempatan.
"R ed Carpet sebagai syarikat swasta kena ikut prosedur dan mematuhi syarat yang ditetapkan. Kena ikut prosedur seperti biasa," katanya.
Ditanya sama ada syarikat tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan Umno, Takiyuddin yang juga penolong setiausaha agung PAS berkata "saya tidak pasti".
"Tapi saya nampak ia seolah-olah macam program Umno. Tapi saya tak kisah. Sebagai kerajaan negeri kita bersikap profesional dan bekerjasama dengan dia (Red Carpet)," katanya.
Red Carpet adalah sebuah syarikat swasta yang bertindak sebagai pengurus acara dalam majlis tersebut, tambahnya.