Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Gadai pangkalan TUDM bahayakan negara
Diterbitkan:  Jun 16, 2010 10:00 AM
Dikemaskini: 5:06 AM

Rancangan kerajaan untuk mengadakan projek pembangunan di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi akan membahayakan negara kerana ia bertentangan dengan konsep pertahanan menyeluruh, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

mahfuz omar "Tindakan itu akan menyebabkan negara kehilangan sebuah pangkalan pertahanan di tengah bandar sedangkan ia merupakan satu elemen penting kepada pertahanan nasional yang menepati konsep dan perlaksanaan pertahanan menyeluruh.

"Amat tidak wajar pangkalan pertahanan yang begitu strategik digadaikan semata-mata untuk memenuhi kepentingan kroni pihak yang berkuasa sedangkan pangkalan pertahanan udara seperti di Sungai Besi masih dikekalkan di kebanyakan negara maju," katanya yang dipetik oleh Harakah Daily .

Mahfuz berkata pangkalan TUDM di Sungai Besi bukannya sekadar ruang-ruang pejabat malah ia adalah pusat operasi tentera udara serta pusat integrasi maklumat radar pertahanan udara di bawah tanah dengan hubungan terus dari Butterworth di utara, Kuantan di timur dan maklumat radar mobile dari Bukit Ibam yang mana masa yang begitu lama terpaksa diambil untuk memastikan sistem tersebut betul-betul berfungsi dengan baik dan tepat.

"Pangkalan itu juga merupakan pusat sistem MADGE ( Malaysia Air Defence Ground Environment ) yang menggunakan sistem Hughes Air Defence Radar ," katanya.

royal military college sungai besi 200508 01 Mahfuz juga mempersoalkan jaminan kerajaan berhubung jurang masa pemindahan ( transfer gap time ) yang mana akan melibatkan beberapa tahun lagi.

"Itu belum lagi diambilkira kosnya sedangkan segala kos yang tersembunyi dalam proses pemindahan itu akhirnya terpaksa ditanggung oleh TUDM, angkatan tentera dan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau juga mempersoalkan tentang risiko pemindahan Electronic Warfare Support Centre (EWSC) memandangkan kemudahan di pusat itu amat sensitif dan kritikal.

"Mengapa kerajaan buat-buat tidak sedar mengenai perkara itu sedangkan electronic warfare amat penting dan kritikal untuk pertahanan masa kini.

airbus A400 military transport aircraft 250105 "Tidakkah pemindahan demi kepentingan komersil beberapa kroni itu akhirnya akan menjejaskan keupayaan sistem tersebut dalam mengumpul, menafsir, menyebar data-data dan memprogramkan semula electronic warfare termasuk dalam tindak balas elektronik dan langkah-langkah sokongan," kata Mahfuz.

Beliau juga yakin, oleh kerana pangkalan tersebut merupakan pusat operasi tentera udara, akan wujud tempoh tertentu yang mungkin panjang di mana negara kehilangan kawalan semasa proses pemindahan fasiliti penting itu.

Beliau juga mempersoalkan mengapa tiada sebarang maklumat lokasi baru pangkalan berkenaan dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya mengumumkan ia akan dipindahkan ke satu tempat yang telah dikenal pasti tetapi gagal mengumumkannya.

NONE "Bagaimana pula maklumat tentang kos perolehan , kos tidak langsung dan pampasan?" soal beliau.

Mahfuz juga membayangkan kerajaan mungkin mengulangi kesalahan yang dilakukan berkali-kali sebelum ini apabila ia menyisihkan komuniti tentera dari bandar seperti di Kem Majidee, Kem Transit Ampang, Markas 2 Div di Pulau Pinang, Kuarters Tentera di Batu Uban sehingga mengakibatkan negara ketiadaan kemudahan sokongan yang penting untuk keselamatan negara.

"Adakah tentera negara kita hanya layak tinggal di pedalaman dan dalam kuarters flat tanpa halaman?

langkawi airshow army paratrooper injured 031207 "Mengapa hendak dimusnahkan keadaan pangkalan Sungai Besi yang kemas dan tersusun dengan binaan kuarters yang selesa dan dengan infrastruktur yang tersedia untuk memberi pulangan kepada beberapa kroni untuk membuat binaan konkrit yang bakal menjadi satu lagi projek gajah putih memandangkan ruang pejabat di Kuala Lumpur pun berlebihan tanpa mengambil kira ruang-ruang yang pejabat yang tidak digunakan di Bangsar South, Petaling Jaya, Cyberjaya dan lain-lain," katanya.

Selain itu, Mahfuz juga berkata pembangunan semula pangkalan TUDM di Sungai Besi akan  memusnahkan peninggalan sejarah yang penting dalam pertahanan negara sedangkan ia adalah pangkalan udara yang pertama di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS