Ahli dewan undangan negeri Malim Nawar, Perak, Keshvinder Singh a/l Kashmir Singh dari DAP hari ini mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan parti itu.
Keshvinder berkata, beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada DAP kerana kecewa dengan kepimpinan Pakatan Rakyat di negeri Perak yang terlalu banyak berpolitik sehingga mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat.
"Saya menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan amat tertarik dengan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.
Keshvinder berkata beliau tidak menghadapi tekanan atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam membuat keputusan itu, yang diambil setelah membuat pengamatan selama 15 bulan terhadap corak kepimpinan BN di peringkat negeri dan pusat.
Beliau juga tertarik dan yakin dengan corak serta cara kepimpinan kerajaan BN hari ini terutama konsep 1Malaysia yang menurutnya merupakan pendekatan realiti yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
"Saya sebenarnya telah melihat dan yakin dengan keupayaan serta pembaharuan yang telah dibawa oleh kerajaan negeri dalam membangunkan negeri Perak.
Keshvinder adalah Adun DAP kedua keluar parti itu selepas Adun Jelapang, Datuk Hee Yit Foong, awal tahun lalu, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang.
Beliau mengumumkan keputusan untuk berpaling tadah itu pada sidang akhbar di Hotel Holiday Villa, di Subang, tengah hari tadi.
Pada pilihan raya negeri 2008, Keshvinder Singh mengalahkan calon Barisan Nasional Dr Chai Song Poh dengan majoriti 1,362 undi.
Dengan keputusan itu, bilangan pembangkang di dewan undangan negeri Perak sekarang ini adalah 27 orang berbanding 28 yang dikuasai oleh Barisan Nasional manakala wakil Bebas pula adalah 4 orang.
Keshvinder memberitahu wartawan yang surat perletakan jawatannya diserahkan kepada setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng, pagi ini.
Katanya, keputusan itu dicapai demi kepentingan rakyat, khususnya di kerusi Malim Nawar kerana berpendapat hanya BN yang boleh membangunkan kawasan luar bandar itu.
Menurut Keshvinder beliau memilih keluar DAP sekarang dan tidak bersama dengan Hee Yit Foong (Jelapang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) pada Februari tahun lalu - kerana ketika itu tidak menyedari betapa serius masalah di kawasannya.
“Apabila saya mula berkhidmat (selepas Februari 2009) saya dapati ada masalah kemiskinan tegar yang perlu diselesaikan,” katanya.
Keshvinder berkata beliau berharap kerajaan BN akan membekalkan bantuan bagi membolehkannya membantu pengundi di kawasannya.
"DAP kebangsaan dan negeri gagal membantu saya menghulurkan bantuan kepada rakyat. Saya tidak boleh berbuat apa-apa sebagai ADUN pembangkang,” katanya sambil mendakwa selama ini beliau menggunakan dana sendiri untuk membantu penduduk di Malim Nawar.
Beliau juga menafikan bahawa ditawarkan ganjaran bagi meninggalkan DAP dan mencabar mereka yang membidasnya memeriksa buku akaun banknya.
Keshvinder berkata beliau juga tidak didatangi oleh mana-mana ahli BN.
“Saya bersih,” katanya.
Tidak seperti rakan-rakan Pakatan Rakyat yang berpaling tadah sebelum ini, pengumuman Keshvinder keluar parti hari ini tidak diiringi oleh mana-mana pemimpin BN.
Bagaimanapun seorang pengawal peribadi yang mengiringi Keshvinder memberitahu Malaysiakini bahawa dia bekerja untuk seseorang yang dikenali sebagai ‘Hamidah’.
Sementara itu, pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham ketika dihubungi enggan mengulas, sebaliknya berkata DAP akan membuat kenyataan berhubung isu itu esok.
Pada 25 Februari lalu, Keshvinder membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa beliau ditawarkan wang tunai RM20 juta agar meninggalkan Pakatan Rakyat.
Dalam kenyataannya kepada media di luar pejabat SPRM itu, Keshvinder mendakwa, agen Datuk Seri Najib Razak, ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Perhubungan Umno Perak yang membuat tawaran itu.