Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kesediaan PAS untuk membenarkan penyokong bukan Islam bertanding menggunakan lambang parti itu dalam pilihan raya umum akan datang mungkin mengundang masalah mendapatkan kawasan yang sesuai untuk mereka tandingi.

Ahli parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berpendapat, cadangan tersebut menimbulkan beberapa persoalan.

PAS sebelum ini dilaporkan berkata, calon bukan Melayu itu akan ditempatkan bertanding menggunakan lambang PAS di kawasan yang tidak ditandingi DAP dan PKR.

Selepas penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS baru-baru ini, PAS terus melangkah ke hadapan dengan membenarkan penyokong bukan Islamnya bertanding menggunakan lambang parti itu dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keputusan itu dibuat hasil keputusan mesyuarat majlis syura - badan tertinggi dalam parti itu pada 11 Jun lalu.

Persoalannya, kata Abdul Rahman lagi, akan adakah kawasan-kawasan yang tidak akan ditandingi oleh DAP dan PKR dalam pilihan raya akan datang.

"Saya ingin tanya, di mana nak letak calon bukan Islam ini? kecuali (melainkan) mereka (PAS) berani nak letak di kawasan mereka.

"Kalau tidak, ini mungkin satu retorik politik untuk ambil hati orang tertentu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau turut mempersoal jika DAP tidak akan memberikan kawasan mereka kepada PAS, maka adakah PAS sanggup mengorbankan kawasannya sendiri.

"Kalau hendak tempatkan (calon) di kawasan bukan Islam, DAP perlu beri laluan kepada PAS. Kalau DAP tidak mahu bagaimana?

"Jika tidak, PAS terpaksa berkorban dengan meletakkan calon bukan Islamnya di kawasan mereka. Adakah PAS sanggup? Yang mana mereka (PAS) akan ketengahkan?" soalnya.

Beliau berkata, jika PAS benar-benar serius untuk membenarkan penyokong bukan Islam untuk bertanding menggunakan lambang parti itu, mengapa orang bukan Islam tidak dibenarkan untuk menjadi ahli PAS dan mengundi memilih pemimpin parti itu.

"Kenapa jadi calon boleh, jadi ahli tidak boleh," katanya. Pada masa ini ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS boleh menghantar perwakilan ke muktamar parti itu tetapi tidak boleh mengundi memilih barisan pemimpinnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Syukur Idrus berkata, tindakan PAS membenarkan bukan Islam menjadi calon pada pilihan raya akan datang menunjukkan PAS memerlukan sokongan rakyat untuk mereka berkuasa.

"Mereka sekarang sedang seronok berkuasa. Dulu semua tak boleh. Sekarang mereka dah hilangkan semua dasar lama. Asalkan mereka dapat jumlah kerusi mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS