Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Muktamar PAS ke-56 berakhir hari ini dengan semangat juang yang tinggi, bersama ikrar untuk memperkukuhkan parti untuk menawan Putrajaya dari tangan BN.

Parti PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menekankan matlamat tersebut  dalam ucapan penggulungannya petang ini.

"Adakah anda tahu Putrajaya? Adakah anda pernah ke Putrajaya? Suatu hari  kita akan mengambil alih Putrajaya," katanya meniupkan semangat para perwakilan.

Pucuk pimpinan parti Islam itu akan mengadakan sesi permukiman selama  tiga hari - kira-kira seminggu dari hari ini - untuk membincangkan cadangan dan perbincangan sepanjang muktamar kali ini bagi memperkukuhkan parti  dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa menberitahu demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungannya di muktamar itu yang berlangsung di PUTIK, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Menurutnya, pucuk pimpinan parti itu akan membincangkan persiapan untuk pilihanraya umum akan datang.

Insya-Allah, katanya, selepas bulan Ramadhan tahun ini, PAS akan bersiap sedia menghadapi pilihanraya umum ke-13.

Pada masa yang sama, PAS juga akan melaksanakan beberapa inisiatif baru yang mensasarkan segmen pengundi.

Sehubungan itu, ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan mengumumkan rancangan sayapnya untuk melancarkan gerakan mendaftar ahli dan pengundi baru (Gempa) bagi meningkatkan sokongan rakyat terhadap PAS.

Gerakan itu mensasarkan kira-kira 2.2 juta golongan muda yang layak mengundi tetapi belum lagi mendaftar.

Sementara, pengerusi biro tanah dan wilayah PAS, Mazlan Aliman pula berkata parti itu juga akan memperhebat usaha untuk mendidik dua juta orang Melayu di kawasan luar bandar, yang berpotensi untuk membawa perubahan kepada politik negara.

Dengan kesedaran tersebut, beliau yakin perubahan besar akan berlaku dalam pilihan raya umum akan datang.

Mazlan berkata Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang kini mempunyai 47 cawangan di seluruh negara untuk memperjuangkan hak-hak peneroka, akan menyediakan mekanisme yang diperlukan.

Ketua penerangan PAS, Idris Ahmad pula berkata pihaknya akan menemui ketua-ketua penerangan parti itu di semua negeri mulai 24 Julai hingga 1 Ogos.

Katanya, pertemuan itu bertujuan untuk menyelaras jentera penerangan parti tersebut.

Manakala penyelaras pilihan raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahmah pula mengulangi bahawa PAS, bersama Pakatan, akan mempertingkat usaha untuk mendaftar lebih ramai pengundi.

Katanya, ini kerana 70 peratus pengundi yang tidak menyokong BN, besar kemungkinan akan menyokong Pakatan.

Menurutnya, parti itu tidak boleh lagi untuk terus menerus bergantung kepada penyokong tradisinya sahaja.

Abdul Halim berkata, mereka memperuntukkan RM29 juta untuk membiayai kempen pilihan raya mendatang dan menambah jumlah itu lebih daripada mencukupi untuk menawan Putrajaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS