Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pakatan Rakyat berpotensi tewas di Selangor dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya trend kemerosotan undi Melayu dan India di Hulu Selangor berterusan, kata Pengarah pilihan raya PAS, Abdul Halim Abdul Rahman hari ini.

Beliau menyuarakan kebimbangan itu ekoran kemerosotan 6 peratus undi Melayu dan 10 peratus undi India dalam pilihan raya kecil kawasan parlimen itu April lalu.

"Kalau trend ini berterusan, kerajaan Selangor dan PAS hanya akan tinggal 2 kerusi sahaja di negeri itu," katanya.

Menyampaikan ucapan penggulungan dalam muktamar ke-56 parti itu di Pengkalan Chepa hari ini, Abdul Halim berkata penentuan kemenangan dalam pilihan raya akan datang bergantung kepada sokongan 4 juta orang muda yang masih belum mendaftar mengundi.

Beliau juga mengingatkan kerajaan di negeri-negeri Pakatan dapat memainkan peranan bagi "membantu" menggerakkan parti di negeri masing-masing.

"Kekuatan di Kedah dan Selangor tidak sama seperti di Kelantan. (Ia) jauh kerana di Kelantan kerajaan banyak tolong gerakkan parti," katanya.

Mengulas fenomena di Kelantan - negeri kubu kuatnya - pula, Abdul Halim berkata, berdasarkan kemerosotan sokongan 6.3 peratus dalam pilihan raya DUN Manek Urai, PAS kini bergantung kepada 24 kerusi bagi mempertahankan penguasaan di negeri itu,

Beliau juga berkata, 18 lagi kawasan dalam negeri itu masih dikira "kawasan kelabu."

Sementara itu, seiring dengan gesaan bagi mendaftarkan pengundi muda itu, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan mengumumkan pihaknya kini menubuhkan Gerakan Pemilih dan Ahli Baru (GEMPA) bagi tujuan itu.

"Hari ini saya harap GEMPA bukan saja menjadi agenda Pemuda PAS, Angkatan Muda PKR atau Pemuda DAP sahaja tetapi insya-Allah menjadi agenda perdana parti.

"Saya harap seluruh organ di semua peringkat dapat memberikan perhatian kepada pesoalan mendaftar ahli baru," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS