Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyeru kerajaan supaya segera membuat penjelasan berhubung pemberian lesen judi sukan kepada syarikat Berjaya.
Katanya, masyarakat perlu diberi penjelasan mengenai duduk perkara sebenar memandangkan perkembangan isu tersebut mengundang banyak laporan bercanggah.
"Itu sebab kita menyeru dan saya harap penjelasan ini dapat dibuat dalam masa terdekat sebab laporan bercanggah yang kita dapat daripada pihak kerajaan dan juga daripada syarikat berkenaan.
"(Berjaya dilaporkan berkata) persetujuan dah dapat tapi lesen belum dapat lagi.
"Jadi kita juga mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku. Sudah tentu rakyat Malaysia pun nak tahu sekiranya betul (persetujuan diberikan)," kata Khairy yang juga ahli parlimen Rembau.
Tambahnya, pemimpin BN telah memberikan pandangan mereka melalui "saluran dalaman parti" berhubung isu tersebut.
"Jadi kita dah serahkan kepada perdana menteri pandangan daripada pimpinan parti dan terpulang kepada kerajaan untuk buat keputusan muktamad," katanya lagi.
Beliau bercakap demikian dalam sidang media selepas pelancaran program Rally 1Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil petang ini.
Program berkenaan menarik penyertaan lebih 10,000 golongan muda dan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta pemimpin parti komponen BN.
Ditanya mengenai rancangan Pakatan Rakyat untuk menganjurkan perhimpunan besar-besaran bagi membantah pemberian lesen judi itu, Khairy berkata golongan berkenaan sekadar mempolitikkan keadaan.
"(Pakatan Rakyat) akan raih sokongan untuk apa saja sekiranya ia memberi kelebihan kepada mereka," katanya.
Beliau seterusnya mencabar kerajaan Pakatan Rakyat supaya menutup semua premis judi sedia ada.
"Jangan kata tidak praktikal (untuk tutup premis). Kalau (Pakatan) kata boleh tarik balik lesen untuk judi sukan, tunjukkan prinsip sehabisnya.
"Kalau tidak, ia hanya memberi keuntungan politik kepada mereka (dengan) hanya mengambil pendirian separuh-separuh," katanya lagi.
Menurut Khairy, beliau ingin melihat Pakatan menunjukkan keterbatasan dalam tindakan mereka, dengan mengemukakan cabaran tersebut.
"Tapi kita hendak tengok juga keterbatasan hasrat pembangkang itu.
"Contohnya mereka bantah lesen judi sukan, apabila kita cabar mereka buat sesuatu, kerajaan bawah Pakatan Rakyat katakan mereka tidak akan benarkan premis tersebut daripada beroperasi dan akan tarik balik lesen mereka.
"Masalahnya bila dicabar lagi, (kita) kata kalau macam itu, kenapa tidak hapuskan semua premis 4D, Magnum, Sports Toto, oh... dia kata tidak praktikal.
"Jadi anda tahulah pembangkang hanya bermain politik," katanya lagi.