Ekoran siasatan awal terhadap upacara 'telan air ludah ustaz' yang tidak menemui sebarang bukti, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sekali lagi menegaskan tindakan terhadap pemberi maklumat palsu.
Pegawai perhubungan awamnya Nurhamizah Othman berkata memasuki peringkat akhir siasatan terhadap tulisan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam Malaysiakini mendapati upacara yang didakwanya itu tidak berlaku.
"Tindakan ke atas mereka yang sengaja atau cuba memberikan maklumat, keterangan atau pengakuan palsu (boleh) diambil sebagai langkah bagi mengelakkan masyarakat daripada menimbulkan fitnah terhadap umat Islam itu sendiri demi menjaga kesucian agama Islam.
"Selain itu juga, JAIS berharap laporan yang dibuat oleh masyarakat perlulah mempunyai bukti yang cukup supaya tidak berlaku kekeliruan dalam masyarakat serta menyukarkan pihak penguatkuasa JAIS bagi mengambil tindakan terhadap aduan yang dibuat," kata Nurhamizah.
Katanya, menurut seksyen 211 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003, pihak yang disabitkan bersalah boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya.
Pada 2 Jun lalu, Dr Asri tetap mempertahankan asas dakwaannya dalam isu 'air ludah ustaz' walaupun mengakui mungkin menggunakan perkataan yang kurang tepat bagi menggambarkan peristiwa itu.
Katanya, sekiranya perkataan "air ludah" yang digunapakai dalam tulisan dalam kolumnya pada 13 April lalu tersasar, beliau sedia memperbetulkan dan menggantikannya dengan perkataan lain seperti "bekas mulut".
Menurutnya lagi, inti dalam artikelnya berjudul 'Telan air ludah ustaz' itu bertujuan hendak menyentuh persoalan ketaksuban kepada guru.
Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini Nurhamizah turut mempersoalkan tindakan Dr Asri yang "baru kini menukar kenyataan" setelah JAIS mengeluarkan kenyataan balas.
Nurhamizah berkata, tindakan itu menunjukkan "sikap yang tidak bertanggungjawab" pensyarah agama itu.
"Di sini juga ingin dinyatakan bahawa tidak semestinya ketaksuban itu berlaku dengan meminum segelas air yang dikongsi bersama," kata Nurhamizah.