Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Muktamar Dewan Pemuda PAS yang akan bersidang Khamis ini dijangka akan membahaskan empat usul antaranya mendesak kerajaan memansuhkan pemberian lesen judi sukan.

Menurut pengerusi jawatankuasa usulnya Suhaizan Kaiat, usul daripada Pemuda PAS Johor itu akan dibincangkan kerana "perjudian boleh mempengaruhi kualiti sukan" di negara ini.

NONE "Kita mendesak agar judi sukan ini dimansuhkan kerana ia memberi kesan terutama terhadap institusi keluarga," katanya yang juga setiausaha Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).

Suhaizan berkata muktamar mereka akan turut membahaskan usul bagi mendesak kerajaan menimbangkan kembali tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (BERSIH).

Beliau yang juga ketua penerangan Pemuda PAS berkata, tuntutan BERSIH antaranya berhubung pemansuhan undi pos, penggunaan daftar pemilih yang bersih dan penggunaan dakwat hitam dalam pilihan raya tidak dilayan kerajaan.

"Saya salah seorang yang terlibat secara langsung membongkar kelemahan undi pos, tetapi kerajaan masih tidak memansuhkannya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Selain itu, tambahnya, berhubung isu keselamatan, Pemuda PAS juga mengusulkan agar kerajaan bertegas dengan Singapura berhubung perjanjian dengan negara itu termasuk isu pembangunan bersama tanah Keratapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar.

Akan dimuktamadkan esok

"Kita tidak tidak mahu Malaysia dilihat mengalah. Kita hendak Malaysia bertegas (dalam isu antarabangsa) terutama mengenai isu air, isu Tanjung Pulau Pisang, isu jambatan bengkok sekaligus isu tanah KTMB," katanya.

najib and budget Muktamar dewan itu turut dijangka membahaskan usul supaya kerajaan mengkaji semula pengurangan bajet Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang diumumkan baru-baru ini.

"Bajet untuk pendidikan amat penting. Apabila bajet dikurangkan, pihak sekolah terasa kesannya. Saya difahamkan ada guru-guru berbelanja sendiri bahkan (pembelian) alat bantu mengajar pun ditanggung oleh guru-guru," katanya.

Suhaizan berkata, dua lagi usul bagi mendesak kerajaan membatalkan perjanjian dengan syarikat perunding Apco Worldwide serta mengecam serangan Israel terhadap flotilla ke Gaza pada 31 Mei lalu diterima tanpa bahas.

Bagaimanapun, tambahnya, pemilihan kesemua usul tersebut hanya akan dimuktamadkan dalam mesyuarat dewan itu di Kelantan tengah hari esok.

Sementara itu kira-kira 600 perwakilan ke Dewan Muslimat PAS pula bakal membahaskan beberapa usul, antaranya mendesak kerajaan menekankan pelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah.

Mereka juga dijadual membahaskan tuntutan dewan itu bagi menuntut kerusi "naib presiden muslimat" yang dilaporkan menjadi keperluan berdasarkan penglibatan wanita yang semakin besar dalam politik.

Dewan Ulama belum putuskan

Setiausaha Dewan Muslimat PAS Kartini Ahmad berkata, usul-usul lain termasuklah mendesak kerajaan meramaikan bilangan penguatkuasa bagi membendung masalah sosial dan berkaitan cadangan penubuhan "Dewan Muslimat Muda".

pas wanita muslimat muktamar agm 55 040609 02 "Tujuannya bagi menarik golongan Muslimat muda bersama-sama dengan PAS," kata Kartini.

Bagi usul yang diterima tanpa bahas pula, Kartini memaklumlan perwakilan Muslimat mahukan kerajaan mengurangkan rancangan televisyen berbentuk tahyul yang didakwanya boleh mempengaruhi minda rakyat.

Tambahnya, satu lagi usul dalam kategori itu "berkaitan dengan hal ehwal PASTI" - institut prasekolah bawah PAS.

Sementara itu, Dewan Ulama pula masih belum memutuskan usul-usul yang akan dibahaskan dalam muktamar mereka yang akan berlangsung pada Khamis ini.

concert Setiausaha kerja Dewan Ulama PAS Wan Ahmad Rasyidi Wan Othman berkata semua usul yang akan dibahaskan hanya akan diputuskan dalam mesyuaratnya pagi esok.

"Kebiasaannya Dewan Ulama akan membahaskan isu-isu yang berkaitan keagamaan, kalau (muktamar) dahulu berhubung isu konsert Jom Heboh dan isu gejala murtad," kata Wan Rasyidi.

Muktamar ketiga-tiga dewan dalam parti itu akan berlangsung serentak esok di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Kota Bharu. Ia akan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

ADS