Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu mahu empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dihadapkan ke mahkamah diberikan hak untuk diwakili oleh peguam.
"Walaupun ia merupakan isu bawah kementerian pelajaran tinggi, bukan saya hendak campurtangan tetapi saya harap pihak universiti mestilah mengadakan satu inkuari yang adil dan telus," katanya.
Gan berkata, peraturan sedia ada yang tidak membenarkan mereka diwakili oleh peguam merupakan "satu kelemahan."
"Selepas tertuduh terima notis, mereka hadapi masalah untuk dapatkan bantuan (peraturan) guaman.
"Hak mereka telah dinafikan dan ini bercanggah dengan perlembagaan persekutuan," katanya.
Gan sebelum itu meluangkan masa kira-kira dua jam untuk bertemu tiga daripada empat mahasiswa UKM tersebut - Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai dan Azlin Shafina Mohamad Adzha.
Seorang lagi pelajar jurusan tersebut yang menghadapi dakwaan sama - Muhammad Ismail Aminuddin - tidak hadir.
Sebelum ini, keempat-empat pelajar tersebut, memfailkan permohonan injunksi bagi menyekat universiti itu mendakwa mereka di bawah akta tersebut pada akhir bulan lalu.
Mesej untuk menteri pengajian tinggi
Pelajar jurusan sains politik tersebut diancam tindakan bawah akta tersebut kerana didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya bersama pelajar itu hari ini, Gan turut menggesa kerajaan mengkaji semula seksyen 15(A) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang tidak membenarkan pelajar diwakili peguam dalam prosiding universiti.
"Mungkin para pelajar masih boleh terima (sekiranya) seksyen 15(A) ini membenarkan mahasiswa atau mahasiswi menceburi dalam bidang politik.
"Cuma tidak (boleh) mengambil apa-apa jawatan dalam parti politik," ujarnya.
Tambahnya, pindaan yang dilakukan ke atas seksyen pada tahun lepas juga masih tidak bersifat menyeluruh.
Gan yang juga naib presiden MCA berkata beliau sendiri akan menyampaikan mesej mahasiswa - bagi mengkaji semula seksyen 15(A) dan pemansuhan AUKU - kepada Menteri Pengajian tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Sebagai pemimpin dalam MCA, saya akan perjuangkan hak sivil dan berpolitik dalam universiti.
"Saya berharap pemimpin dalam MCA bangkitkan isu ini dalam kabinet," katanya lagi.