Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) meminta jasa baik menteri-menteri yang beragama Islam supaya meneliti keputusan meluluskan pemberian lesen judi pertaruhan sukan sempena Piala Dunia.
"Keberadaan mereka dalam kabinet adalah satu amanah yang penting untuk menjaga keluhuran dan kedaulatan amalan agama Islam dan semua agama yang menolak amalan judi," kata presiden Abim, Muhamad Razak Idris.
Sehubungan itu, katanya, Abim mengulangi desakannya supaya lesen pertaruhan Piala Dunia 2010 ditarik balik demi menghormati pandangan serta keprihatinan masyarakat berhubung isu tersebut, di samping menghindari implikasi negatif jangka masa panjang.
Abim juga, tegas Muhamad, menyeru semua pihak kerajaan dan rakyat Malaysia yang prihatin dengan prinsip ekonomi beretika supaya menolak sebarang usaha untuk menjustifikasikan perjudian atas apa nama sekalipun.
"Abim juga sangat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh beberapa kerajaan negeri yang bertindak mengharamkan amalan pertaruhan Piala Dunia 2010 di negeri masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abim juga, tegasnya, menyambut baik penubuhan Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) yang merupakan manifestasi keprihatinan rakyat berhubung isu tersebut.
"Memandangkan isu ini menyentuh secara langsung sensitiviti umat Islam selaku masyarakat majoriti di negara ini, Abim juga ingin merakamkan penghargaan di atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh mufti Perak dan mufti Selangor berhubung isu tersebut," tambahnya.
Katanya, Abim tetap dengan pendirian bahawa lesen pertaruhan judi sukan akan hanya mengundang pelbagai implikasi negatif kepada masyarakat dan negara, jika dibandingkan dengan gambaran faedah ekonomi yang dibawanya oleh pihak tertentu.
Justeru, Abim kesal dengan kenyataan Pengerusi Kumpulan Berjaya,Tan Sri Vincent Tan baru-baru ini yang berhasrat menyumbang RM525 juta hasil penjualan syarikat perjudiannya untuk tujuan kebajikan.
"Kenyataan ini jelas tidak sensitif dan menggambarkan sikap tidak prihatin terhadap protes yang disuarakan oleh segenap lapisan masyarakat dan beberapa kerajaan negeri berhubung dengan isu ini," kata Muhamad.