Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Malaysia menyarankan agar negara-negara dunia sepakat membawa usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk merujuk perbuatan ganas rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Gesaan itu terkandung dalam usul khas yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Malaysia juga akan mendesak supaya Rejim Israel membayar ganti rugi serta pampasan ke atas semua harta benda, bahan makanan, alat-alat binaan dan perubatan, termasuk kapal-kapal yang telah di tawan serta semua barangan persendirian ahli konvoi yang telah di rampas secara haram oleh tentera Rejim Zionis.

"Di samping itu Malaysia juga mendesak agar Israel membayar ganti rugi akibat dari kesan trauma secara psikologi, mental dan fizikal serta apa-apa pampasan yang difikirkan layak oleh Mahkamah Antarabangsa," kata Perdana Menteri.

NONE "Tidak cukup dengan itu, anggota konvoi ini juga telah diculik dan diperlakukan seperti penjenayah. Mereka diikat berbelas jam tanpa diberi hak secara sewajarnya seperti makanan, minuman, bersolat dan keperluan ke bilik air. Bagi Malaysia, tiada sebarang alasan untuk mereka bertindak sedemikian terhadap misi yang merentas kepercayaan agama, sempadan bangsa dan fahaman politik," katanya.

Usul yang mengandungi 15 ketetapan itu mencadangkan, antara lainnya, agar peristiwa keganasan Israel pada 31 Mei menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dirujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mendapatkan "advisory opinion" (pendapat berbentuk nasihat).

"Seperti dilaporkan, 9 orang yang terkorban itu telah ditembak dari jarak dekat dan apa yang lebih menyayat hati, ada yang ditembak dari arah belakang. Ini mempamerkan sikap pengecut yang tidak dapat dimaafkan," katanya.

Najib juga mencadangkan supaya Turki, yang kehilangan sembilan aktivis kemanusiaannya akibat dibunuh komando Israel, menimbang untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rom, ICC.

israel gaza attack 140109 05 Usul khas itu juga mengecam sekeras-kerasnya pemimpin Israel Benjamin Netanyahu kerana membenarkan tentera rejim itu bertindak di luar batasan kemanusiaan terhadap rakyat pelbagai negara, termasuk Malaysia, yang menyertai misi bantuan itu yang dikenali sebagai "Freedom Flotilla".

Menurut Najib, sekiranya perbuatan yang sama dilakukan oleh negara lain, nescaya negara tersebut akan dikenakan pelbagai tindakan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

"Ini jelas membuktikan betapa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bersikap berat sebelah dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada mereka."

Sehubungan itu, Israel dituntut supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS