Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Demo anti-Israel: 10,000 berarak ke kedutaan AS
Diterbitkan:  Jun 4, 2010 2:25 PM
Dikemaskini: Jun 5, 2010 2:20 PM

Ribuan orang menyertai demontrasi Pakatan Rakyat di ibu negara selepas solat Jumaat bagi membantah serangan berdarah tentera Israel terhadap flotila bantuan kemanusiaan pro-Palestin Isnin lalu.

Kumpulan itu membanjiri Masjid Kampung Baru untuk menunaikan solat Jumaat sebelum berarak beramai-ramai ke kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Ampang, sejauh hampir 5 kilometer.

Dipimpin Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka bergerak lancar apabila tidak dihalang polis, seperti kebiasaan dalam demontrasi besar Pakatan Rakyat sebelum ini.

Memorandum bantahan mereka berjaya disampaikan kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat kira-kira jam 3.30 petang tadi tanpa sebarang insiden yan tidak diingini.

Selain itu, satu lagi kumpulan NGO melibatkan jumlah yang lebih kecil turut berarak daripada Masjid Tabung Haji dan berarah menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan tersebut. GALERI FOTO

Berikut kronologi perhimpunan tersebut:

2.00pm Demonstrasi anti-Israel bermula di Masjid Kampung Baru tanpa sebarang sekatan daripada pihak polis, walaupun amaran telah dikeluarkan semalam.

NONE Diketuai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, ribuan orang bergerak berarak pantas sambil bertakbir dan melaungkan slogan anti-Israel.

2.30pm: Berbeza dengan perhimpunan pembangkang, perhimpunan Pemuda BN di Masjid Negara telah pun tamat. Ia hanya berlangsung 30 minit dan diisi dengan ucapan pemimpin Pemuda BN. [Baca berita penuh]

Mereka kelihatan bertakbir dan melaungkan slogan anti-Israel.

Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddn dalam ucapannya berkata pihaknya berharap kerajaan sentiasa memberikan keutamaanya dan memastikan kepentingan rakyat Palestin terbela.

NONE Pada masa yang sama, kumpulan Pakatan kini sudah berarak sampai Jalan Sultan Ismail dan melintas Hotel Rennaisance.

Slogan anti-Israel seperti "hancur Israel" dan " Khaibar ya Yahud " (perang Khaibar wahai Yahudi) dilaungkan.

Sementara satu lagi demonstrasi oleh sekumpulan aktivis NGO di Masjid Tabung Haji pimpinan Lifeline4Gaza sejak jam 2 petang tadi juga berarak ke kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Ampang.

2.55pm: Anwar dan pemimpin kanan Pakatan tiba di bangunan Tabung Haji dengan trak pikap. Mereka kini berada kira-kira 100 meter daripada kedutaan AS.

3.07pm: Kumpulan daripada Masjid Tabung Haji bersurai setelah wakil mereka Zulkifli Nani berjaya menyerahkan memorandum kepada kedutaan negara sekutu rapat Israel itu lima minit sebelum jam 3 petang tadi.

NONE 3.10pm: Polis membuat benteng manusia di kedutaan AS dalam jarak 100 meter. Hadirin cuba merempuh sebelum ditenangkan pemimpin Pakatan yang hadir. Mereka diingatkan bahawa perhimpunan itu adalah aman.

Selepas rundingan, 12 pemimpin Pakatan dibenarkan masuk bagi menyerahkan memorandum kepada pihak kedutaan AS.

Dalam cuaca mendung di ibu negara, kelihatan beberapa helikopter polis berlegar di angkasa.

Selain Anwar, pemimpin Pakatan lain yang turut serta ialah pemimpin popular DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa.

3.40pm Anwar berucap kepada ribuan rakyat Malaysia setelah berjaya menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan itu.

Dalam masa yang sama, beberapa orang kelihatan membakar bendera Israel dan gambar Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

NONE Dalam ucapannya Anwar berkata rakyat hari ini menunjukkan tentangan yang begitu hebat menentang kezaliman Israel.

"Saudara-saudara adalah pahlawan rakyat," kata anwar.

Katanya, dalam pertemuan dengan wakil kedutaan sebelum ini, beliau menegaskan mengutuk tindakan Israel tanpa tolak ansur.

"Amerika telah berlembut menyebabkan keganasan Israel. Kita minta Amerika mengekang kezaliman dan mendengar suara rakyat," katanya.

Anwar menjelaskan kedutaan Amerika berjanji akan membawa memorandum mereka ke Washington minggu depan.

3.50pm Kumpulan tersebut bersurai setelah mengutip kain rentang dan sampah yang dihasilkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS