Empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini telah menyerahkan perintah injunksi bagi menangguhkan perbicaraan universiti berkenaan terhadap mereka pagi tadi.
Menurut seorang mahasiswa terbabit Muhammad Hilman Idham ( bawah ), perintah tersebut diserahkan kepada seorang setiausaha naib canselor UKM Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.
Tambahnya, seramai 50 orang mahasiswa dan beberapa aktivis daripada NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) turut hadir menyatakan sokongan mereka.
"Ini permulaan kebangkitan mahasiswa," tegasnya, berbangga dengan tindakan mereka mencabar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di mahkamah.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan perintah injunksi bagi menunda perbicaraan universiti terhadap mahasiswa terbabit yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil di Hulu Selangor pada 25 April lalu.
Hakim Aziah Ali memutuskan perkara itu bagi memberi masa kepada kesemua mahasiswa jurusan sains politik itu mencabar Seksyen 15 (5) dalam AUKU yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dengan penyerahan perintah itu kepada pihak UKM hari ini, menyebabkan dengan sendirinya pendakwaan terhadap mereka oleh senat universiti berkenaan ditangguhkan buat sementara waktu.
Muhammad Hilman sepatutnya dihadapkan kali pertama ke mahkamah universiti pada awal pagi ini.
Manakala tiga lagi - Muhammad Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Mohamad Adzha dan Woon King Chai - dijadual dipanggil esok.
Pendengaran inter partes berhubung injunksi yersebut dijadual pada 17 Jun di Mahkamah Tinggi Jalan Duta.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Muhammad Hilman berkata pihaknya berharap seluruh mahasiswa sentiasa memberikan sokongan terhadap rakan seperjuangan mereka.
Katanya, dalam kes lain seperti mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) Soh Sook Hwa yang mencabar AUKU, mahasiswa patut hadir "menyaksikan" sendiri proses mahkamah itu.
"Kami mengajak orang ramai hadir ke mahkamah pada Jumaat ini untuk hadir untuk melihat proses itu berlangsung," katanya
Kes Soh, mahasiswa pertama mencabar AUKU - akta yang didakwanya bertentangan dengan perlembagaan - akan diputuskan pada Jumaat ini.