Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jais: Upacara telan 'ludah ustaz' tak benar
Diterbitkan:  Jun 1, 2010 7:13 PM
Dikemaskini: 11:29 AM

Siasatan awal mendapati dakwaan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin kononnya terdapat upacara telan air ludah penceramah di sebuah masjid di Selangor beberapa bulan lalu adalah tidak benar.

Sebaliknya, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Muhammad Khusrin Munawi berkata apa yang berlaku hanya sesi meminum air zam-zam yang dikongsi antara jemaah dalam satu cawan bersama penceramah berkenaan.

"Tidak wujud upacara yang didakwa, sebaliknya ia hanya air zam-zam yang dikongsi antara mereka," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata amalan yang sama turut berlaku ketika zaman Nabi Muhammad SAW di mana para sahabat berkongsi meminum susu di dalam satu gelas yang sama.

Sehubungan itu, Muhammad Khusrin berkata siasatan lanjut akan dijalankan termasuk menyoal siasat seorang lagi saksi iaitu kariah masjid itu dan sekiranya sah upacara berkenaan tidak terlibat, Mohd Asri boleh didakwa.

Beliau berkata dakwaan terhadap Mohd Asri boleh dilakukan kerana menyebarkan dakwaan palsu melalui kenyataan yang dibuat olehnya mengikut Enakmen Tata Cara Jenayah Syariah 2003 di bawah Seksyen 211.

"Kita juga akan memanggil Mohd Asri untuk meminta penjelasan daripadanya," katanya.

Pada 13 April lepas, JAIS memanggil Mohd Asri berhubung 'upacara telan air ludah ustaz' yang didakwanya dilakukan oleh seorang tokoh agama di negeri itu dalam portal berita Malaysiakini .

Mohd Asri hanya datang memberi penjelasan di pejabat JAIS pada 19 April lepas selepas pihak berkuat kuasa agama negeri itu memberi amaran akan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Khusrin berkata JAIS juga sedang mengumpul maklumat terperinci sebelum melakukan tindakan selanjutnya terhadap pengikut pergerakan kumpulan Al-Arqam yang diharamkan, kerana dilaporkan masih aktif.

Katanya, gerakan itu masih mempunyai pengikut yang ramai berdasarkan konsert yang diadakan untuk memperingati ketua ajaran itu, Ashaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya terutamanya di kawasan Country Home, Rawang.

Kumpulan itu mencetuskan kontroversi apabila mengadakan konsert khas, empat hari selepas Ashaari, 73, meninggal dunia pada 13 Mei lepas akibat jangkitan paru-paru.

-- Bernama

ADS