Pelbagai pihak mengutuk serangan Israel terhadap flotila bantuan kemanusian ke Genting Gaza yang menyebabkan 16 kematian hari ini.
Menurut Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, atas apa alasan pun serangan Israel terhadap konvoi bantuan ke Palestin - yang merana di bawah sekatan ekonomi regim Zionis - tidak boleh diterima.
"Apa yang lebih mengejutkan lagi, pembunuhan kejam ini dilakukan di perairan antarabangsa, lebih kurang 65 kilometer dari persisiran Gaza, di mana tentera Israel tiada langsung hak kedaulatan untuk menyerang konvoi kapal tersebut.
"Tindakan ini ternyata melanggar peraturan antarabangsa lantas membuktikan sekali lagi bahawa rejim Israel adalah satu regim zalim laknatullah yang langsung tidak menghormati undang-undang," kata Khairy yang juga ahli parlimen Rembau.
Dalam kenyataannya sebentar tadi, Khairy menambah, Pemuda UMNO juga menggesa Kerajaan Malaysia melalui Kementeri Luar Negeri bersama rakan-rakan luar yang lain segera mendesak Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan keras terhadap Israel.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya berkata, selain mengancam beratus orang aktivis, serangan pasukan tentera laut Zionis itu turut mengancam ahli parlimen daripada Kesatuan Eropah dan pemenang hadiah nobel.
"PKR mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim Israel Zionis yang telah menyerang dan membunuh beberapa orang di atas kapal antarabangsa yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza," katanya.
Beliau juga mengambil kesempatan itu mengulangi tuntutan supaya kerajaan membatalkan kontrak bersama syarikat perunding APCO Worldwide bagi "menghantar mesej yang kuat" berhubung kejadian terbaru itu.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan berkata, pihaknya akan mengadakan demonstrasi besar dalam tempoh terdekat bagi menyatakan bantahan mereka.
"Ia akan diumumkan oleh setiausaha (Pemuda PAS) tidak beberapa lama lagi. Saya masih di Istanbul dan Insya-Allah menyertai himpunan bantahan bersama umat islam Turki hari ini di kedutaan Israel di sini," katanya melalui SMS kepada Malaysiakini .
Sementara itu, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim pula dalam reaksi segeranya menyeru menyeru rakyat Malaysia supaya berdoa supaya kesemua tahanan dan bantuan yang diberikan selamat tiba.
"Saya juga memohon agar kerajaan mengambil sikap dan pendirian yang tegas di pentas antarabangsa melalui diplomasi antarabangsa kerana ia juga melibatkan (nyawa) rakyat Malaysia" katanya kepada Malaysiakini .