Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Proses pemilihan wakil rakyat PKR perlu lebih ketat untuk mengelakkan kejadian lompat parti, kata presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Katanya, wakil rakyat sebegitu juga sebaiknya disingkirkan daripada parti sekiranya dikesan lebih awal.

NONE "Jika demikian watak wakil rakyat (kita), bukankah lebih baik mereka disingkir dan bersama dengan parti wang dan kontrak (oleh) Umno (dan) BN.

"Apakah  perkembangan tersebut mampu memantapkan Parti Keadilan Rakyat? Ya, kerana bukan saja parti diselamatkan dari anasir negatif, tetapi  ia adalah pengajaran  buat  kita, katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di kongres parti itu hari ini.

Katanya lagi, bakal calon juga perlu mengikuti program tarbiah atau latihan sebagai pelapis bagi pemimpin sedia ada

"Apakah mampu dipertahankan tokoh lama yang kurang wibawa? Atau mestikah kita sekadar memilih (pemimpin) yang  telah kenal  aspirasi perjuangan parti," soalnya.

Beliau juga menyifatkan wakil rakyat yang bertindak melompat parti itu "dijangkiti" amalan daripada pemimpin Umno dan BN.

Katanya, "pekung busuk" itu kini telah terhidu dan parti itu akan mendedahkan fakta berhubung upah sebanyak RM2 juta ringgit dan jua imbuhan kontrak sebagai upah bagi ahli parlimen yang yang lompat parti.

"Demikian telatah pengkhianat – bicara soal prinsip tetapi isi tembolok sendiri," katanya.

Dalam soal itu, katanya, pimpinan parti itu juga sewajarnya mendengar pandangan daripada parti manakala rakyat pula harus membuat penilaian.

NONE Sehubungan itu juga ahli majlis kerajaan di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan ini perlu meningkatkan prestasi mereka.

Tumpuan perlu diberikan dalam soal "pembangunan dan pengagihan kekayaan kepada rakyat serta kepedulian terhadap permasalahan."

Wan Azizah turut menggariskan lima fokus utama yang perlu ditumpukan oleh kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan.

Katanya, ia termasuk pelaksanaan keputusan kerajaan yang perlu dipercepatkan, di samping memastikan kelicinan pentadbiran.

"Kenal pasti undang-undang,  dasar  dan  arahan  pekeliling  yang menjadi  punca  kepada  kelewatan  dan  birokrasi remeh untuk disemak, dipinda mahupun dibatalkan," katanya.

Selain itu, perkhidmatan dan bantuan daripada kerajaan negeri juga perlu dipastikan supaya sampai ke peringkat terbawah, katanya lagi.

Tambahnya, pelan pembangunan ekonomi negeri juga perlu berlandaskan Agenda Ekonomi Malaysia, selain memenuhi kehendak masyarakat dalam perkhidmatan kerajaan tempatan.

"Penghulu, JKKK, ahli majlis  dan pemimpin  setempat  perlu memainkan  peranan  penting  kerana  anda  adalah wakil kita dengan rakyat.

"Program-program untuk meningkatkan keberkesanan mereka perlu dilaksanakan dengan segera," katanya lagi.

Tambahnya, jentera  penerangan kerajaan negeri juga perlu digembleng bagi memastikan polisi dan maklumat kerajaan sampai ke golongan sasaran.

"Harus diingat, politik adalah persoalan persepsi," tegasnya.

Wan Azizah juga yakin, pentadbiran negeri Pakatan berasaskan prinsip urustadir yang baik mampu memastikan pentadbiran yang "cekap, telus dan amanah."

Beliau seterusnya mencadangkan supaya Selangor mengadakan Indeks Tadbiran Baik setiap tahun bagi membolehkan masyarakat menilai pencapaian kerajaan negeri itu.

Katanya, cadangan tersebut berdasarkan laporan Ketua  Audit Negara pada dua tahun lalu yang mencatat rekod bersih bagi kerajaan  Selangor,  Pulau  Pinang, Kedah, Kelantan dan Perak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS