Ketua AMK Shamsul Iskandar Mat Akin hari ini mengulangi ingatannya kepada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat supaya membersihkan jentera kerajaan daripada "anasir korup Umno dan BN."
Gesaan itu disuarakannya hari ini memandangkan terdapat individu tertentu yang masih dikekalkan dalam kerajan negeri Pakatan.
"Malang sekali, saranan kita ini ditanggap prejudis dan kerap ditanggap berselindung (di sebalik tujuan tertentu)," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar kongres sayap PKR itu di Kota Bharu hari ini.
Katanya, dalam kongres sebelum ini, beliau telah mengingatkan kerajaan Pakatan supaya melaksanakan perubahan dengan menyingkirkan "anasir Umno dan BN" yang didakwa terlibat dengan rasuah.
"Perubahan tidak dilaksanakan sebaliknya muka-muka lama yang masih mengekalkan amalan (korupsi, kronisme dan nepotisme) KKN Umno-BN terus dikekalkan.
"( Selepas beri peringatan) Angkatan Muda (kemudiannya) dituduh gila pangkat, lapar jawatan..."
"Mereka ini yang terbabit dengan korupsi terus dibiarkan memegang kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri dan syarikat-syarikatnya.
Shamsul Iskandar berkata, sekiranya tidak disingkirkan, golongan tersebut akan terus "menjalankan usaha sabotaj daripada dalam."
"Kehadiran secara pasif mereka sekalipun memberi kesan negatif kepada kerajaan pakatan. Harapan mereka hanya untuk rakyat melihat Pakatan Rakyat gagal dan Umno dan BN kembali berkuasa.
"(Jadi) kita bertanya kepada elemen-elemen anti-reformasi, adakah mereka mempunyai keberanian ini.
"Kenapa kita biarkan anasir korup ini (terus berada dala, struktur kerajaan). Padahal rakyat memberi mandat kepada kita bukan untuk memanaskan kerusi menteri besar tetapi mentadbir negeri dengan cara yang baru," katanya lagi.
Dalam pada itu, Shamsul Iskandar turut menyeru para perwakilan untuk membaharui tekad mereka dalam menghadapi BN
"Kita mesti berusaha dengan gigih tetapi bukan lagi sebagai pembangkang. Tidak memadai untuk kita dedahkan kelemahan BN. Kita mesti menampilkan kebolehan kita.
"Justeru pada hari ini, saya mengajak pemimpin dan anggota AMK untuk bersama-sama saya memperbaharui ikrar dan tekad kita, mempertegaskan kembali perjuangan berpandukan kepada Deklarasi Permatang Pauh dan Testamen Politik Angkatan Muda Keadilan.
"Sebagai anak muda, kita yang akan mewarisi masa depan Malaysia. Kita yang akan mewarisi jenama Malaysia yang sudah cukup rosak dengan rasuah, penodaan institusi keadilan, kematian di dalam tahanan, keselamatan negara yang tergadai, institusi keluarga dan masyarakat yang dirosakkan dan ekonomi yang pincang," katanya.