Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gerakan Anti-Samy (GAS) menuduh MIC menekan Umno supaya menghalang rancangan mereka untuk mengadakan perhimpunan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Ahad, sekaligus memaksannya untuk mencari tempat lain.

Jurucakap GAS, KP Samy berkata PWTC yang dimiliki Umno telah meminta pihaknya menimbang mencari tempat alternatif, berikutan tuduhan pemimpin MIC yang Umno menyokong GAS.

"PWTC bimbang dengan tuduhan tersebut. Kerana tekanan politik, mereka meminta kami menimbang mencari tempat lain," katanya.

gas pc mic 270510 mugilan Petang tadi, seorang lagi jurucakap GAS, V Mugilan berkata, GAS merancang memindahkan perhimpunan mereka Ahad ini ke sebuah hotel di Petaling Jaya.

"Kerana keadaan yang tidak diduga, tempahan di PWTC telah dibatalkan dan oleh kerana itu, saya memanggil sidang akhbar esok mengenai perubahan tempat dan untuk mendedahkan satu perkara penting," kata Mugilan dalam satu kenyataan.

GAS merancang untuk menghimpunkan 10,000 orang Ahad ini untuk memaksa presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berundur.

Dalam beberapa hari belakangan ini, pemimpin MIC telah menuduh Umno menyokong GAS untuk memecahbelahkan dalam MIC.

Menurut KP Samy, pemimpin MIC telah menekankan Umno supaya meminta PWTC jangan menyewa premisnya kepada  GAS dan supaya polis tidak mengeluarkan pemit untuk perhimpunan tersebut.

'Kami tidak akan berundur '

Awal hari ini, pemimpin GAS berikrar bahawa perhimpunan tersebut akan tetap diadakan tidak kira sama ada mereka dapat menyewa Dewan Merdeka di PWTC yang dapat menampung 8,000 orang.

Dalam sidang media di sebuah restoren mamak di Petaling Jaya, Mugilan juga mendakwa beliau mendapat banyak panggilan dari anggota parti yang memaklumkan kepadanya bahawa terdapat usaha 'memberi wang' kepada ahli MIC supaya jangan menghadiri perhimpunan GAS Ahad ini.

"Beri duit ambil. Itu duit kita. Tetapi Ahad ini kena datang," rayunya kepada ahli parti India itu.

"Kita dengar juga mereka halang bas dari Pulau Pinang bagi membawa orang ke Kuala Lumpur (untuk perhimpunan itu). Jangan takut, kalau (perlu) berjalan kaki daripada sana pun, kita akan jalan."

azlan Ditanya sama ada beliau akan melaporkan 'pemberian duit' itu kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau berkata, ia tidak perlu kerana amalan itu "sudah 31 tahun berlaku dalam masyarakat India"

Diminta menjelaskan rundingannya dengan pengurusan PWTC semalam, Mugilan bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perkara itu.

"Saya tidak mahu komen tentang perkara itu. Setakat ini kita sudah tempah di situ," katanya sambil berkata pihaknya juga sedang memikirkan 'plan B' atau rancangan alternatif sekiranya tempahan dewan di bangunan PWTC dibatalkan.

'Surat cinta' untuk Vell Paari

"Kita boleh berhimpun di dewan PWTC, pejabat agung MIC atau Batu Caves," katanya.

Mugilan menambah, beliau yakin, sekiranya pertukaran tempat berlaku, kebenaran polis untuk berhimpun juga tidak akan menghadapi sebarang masalah kerana "permit sudah ada".

"Itu tidak ada hal," katanya.

Dua lagi bekas AJK MIC yang dipecat kerana mendesak Samy Vellu meletakkan jawatan - KP Samy dan G Kumar Aamaan - turut hadir dalam sidang media itu.

Mereka sebelum itu mengadakan sidang media lebih awal, dengan terus mempertikaikan kewibawaan pentadbiran Samy Vellu, kali ini berhubung 'kegagalannya' mengambil tindakan tegas pada anaknya S Vell Paari.

Katanya, tindakan Vell Paari mendakwa Umno menggunakan pendekatan "pembunuhan politik" untuk memecahbelahkan MIC telah memberikan kesan tidak baik kepada parti India itu.

"Kalau kami dapat surat pemecatan. Bila tiba giliran anaknya, dapat surat cinta," kata KP Samy menyindir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS