Seramai 20,000 anggota Kelab Penyokong PAS hari ini 'dinaiktaraf' sebagai anggota penuh Dewan Himpunan Penyokong PAS yang baru dibentuk.
Ketua penerangan parti itu Idris Ahmad berkata, anggota dewan tersebut kini berpeluang untuk menghadiri muktamar parti sebagai ahli perwakilan bagi mengikuti mesyuarat.
"Tapi untuk mengundi dalam pemilihan parti belum lagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Tambahnya, dewan yang dibentuk itu akan menumpukan usaha penerangan dasar parti melalui program dialog dan ceramah.
Jelasnya, usaha itu penting bagi menangkis tohmahan yang dilemparkan BN.
Katanya lagi, tohmahan yang digembar-gemburkan melalui media kawalan BN terhadap parti itulah yang menimbulkan persepsi negatif di kalangan orang bukan Islam terhadap PAS.
"Kalau dulu mereka jalankan aktiviti atas nama kelab penyokong sahaja tapi sekarang mereka akan dapat jalankan aktiviti (dengan) lebih terarah dan tersusun.
"(Fokus) mereka, terangkan dasar PAS dan pecahkan tembok yang memisahkan PAS dengan orang bukan Islam.
Pelancaran dewan tersebut pagi ini disempurnakan oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Serbaguna Pejabat Tanah dan Daerah Klang.