Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) akan menyelidik terlebih dahulu dokumen berkaitan sebelum memutuskan memanggil mana-mana individu untuk pendengaran awam pada 2 hingga 4 Jun depan.
Seorang anggota jawatankuasa itu memberitahu, pihaknya akan bermesyuarat sekali lagi bagi memutuskan perkara tersebut sebelum pendengaran awam dilangsungkan.
"Buat masa ini kami tidak boleh memutuskan siapa yang akan dipanggil. Dokumen-dokumen akan dikaji terlebih dahulu. Selepas itu, barulah kami boleh tahu siapa yang hendak dipanggil.
"Lagipun kami belum dapat dokumen-dokumen dari KSSB (Kumpulan Semesta Sdn Bhd) dan beberapa lagi dokumen yang berkaitan," kata Haniza Talha ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Pada 12 Mei lalu, ahli parlimen Kapar S Manikavasagam dilaporkan membuat laporan polis, mendakwa tiga pegawai kanan KSSB terbabit dalam operasi pelombongan pasir secara haram.
Dalam laporan polisnya, Manikavasagam antara lain mendakwa, tiga pegawai terbabit bertanggungjawab terhadap kerugian sebanyak RM10 juta akibat salah urus dan tindakan mengeluarkan permit kepada pengusaha lombong pasir haram.
Selcat - satu jawatankuasa khas bawah DUN Selangor - akan mengadakan sesi pendengaran awam terhadap tuduhan penyelewengan dalam KSSB, sebuah syarikat milik kerajaan negeri.
Pendengaran awam itu akan diadakan di Bilik Gerakan, Tingkat 2, Bangunan Annex, DUN Selangor dari jam 10 pagi hingga 1 tengahari.
Sementara itu, Haniza yang juga ADUN Kampung Medan menegaskan, fungsi Selcat bukan untuk menyiasat amalan rasuah yang dilakukan oleh individu tertentu.
"Sebenarnya, kami menyiasat sistem kerajaan yang membawa kepada ketidakcekapan yang berlaku supaya kami boleh kenalpasti mana-mana kelemahan yang ada di dalam sistem kerajaan negeri untuk diperbaiki," katanya yang juga timbalan speaker Selangor.