Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur membenarkan permohonan ahli parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sebulan yang dijatuhkan ke atas dirinya atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran.
Menurut hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad, penangguhan itu diluluskan sehingga rayuan didengar di Mahkamah Tinggi Syariah.
Hakim juga memerintahkan ahli parlimen itu dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM1,000.
Bung Moktar diarahkan memfailkan notis rayuan itu dalam masa 14 hari.
Pagi tadi, selain hukuman penjara sebulan, Bung Moktar juga didenda RM1,000 bagi satu lagi kesalahan bernikah tanpa kebenaran dan berhadapan dengan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Isteri keduanya, pelakon Zizie Izette Abd Samad pula didenda RM1,000 bagi setiap dua kesalahan.
Selain itu, ketiga-tiga adik beradik lelaki Zizie juga didenda RM1,000 bagi kesalahan bersubahat.
Dua yang lain, dipercayai rakan Bung Moktar -- Sahari Ahmad dan Titing Putang, didenda RM1,000 bagi satu kesalahan bersubahat bagi kesalahan tersebut.
Semua tertuduh memfailkan permohonan untuk menangguhkan hukuman melalui peguam Amli Embong ( kanan ).
Pernikahan sindiket
Peguam itu mengemukakan permohonan penangguhan berkenaan memandangkan Bung Moktar berdepan dengan kemungkinan kehilangan kerja sekiranya dipenjarakan.
Wan Mahyuddin pada penghakimannya berkata, keputusan mahkamah hari ini dibuat dengan mengambil kira hujah mitigasi daripada peguam dan juga pendakwa.
Bagaimanapun, mahkamah bersetuju dengan pandangan supaya hukuman dibuat dengan mengambil kira kedudukan Bung Moktar dan Zizie sebagai tokoh yang dikenali masyarakat.
Tambahnya, hukuman yang dikenakan kepada wali dan saksi itu juga bertujuan mendidik masyarakat mengenai peraturan perkahwinan.
Katanya, hukuman juga diberikan dengan setimpal dan seadilnya memandangkan perkahwinan itu didaftarkan secara tidak sah.
"Jika wali dan saksi tidak mengikut peraturan, boleh dianggap menjalankan pernikahan sindiket," katanya.
Tambahnya, pembelaan juga gagal membuktikan sama ada perkahwinan kedua Bung Moktar merupakan sesuatu yang patut dan perlu.
Katanya lagi, hukuman di mahkamah syariah perlu dinaikkan, memandangkan had hukuman denda maksimum sebanyak RM1,000 menyebabkab masyarakat tidak menghormati undang-undang syariah.
Hanya tersenyum
Bung Moktar yang ditemui pemberita selepas membayar jaminannya bagaimanapun enggan memberi ulasan lanjut berkenaan kes yang diputuskan hari ini.
"Saya pun tidak tahu apa perasaan saya, macam mana saya mahu komen?," katanya sambil tersenyum.
Zizie juga masih mampu mengukir senyuman sambil mengucapkan terima kasih kepada wartawan yang membuat liputan perjalanan kes tersebut.
Peguam Amli Embong berkata beliau akan mengemukakan notis rayuan secepat mungkin bagi hukuman penjara Bung Moktar.
"Kita masih boleh rayu dan kurangkan hukuman tersebut," katanya kepada pemberita di perkarangan mahkamah.
Katanya, hukuman tersebut boleh memberi kesan kepada status Bung Moktar sebagai wakil rakyat.
"Tapi ini hanya kesalahan matrimony. Ia masih boleh dibahaskan, sama ada hukuman seperti ini boleh terikat dengan hukuman kesalahan jenayah di mahkamah sivil," katanya.
Tambahnya lagi, isu sama ada Bung Moktar patut atau tidak patut berpoligami juga tidak timbul kerana pernikahan telahpun berlaku.
"Jadi isu patut atau tidak patut itu tidak lagi timbul," katanya, mengulas wajaran penghakiman bagi kes itu.