Dominique Ng (PKR-Padungan) dan Chong Chieng Jien (DAP-Kota Sentosa) hari ini digantung daripada menghadiri persidangan DUN Sarawak selama 12 bulan berkuatkuasa serta merta kerana didakwa menghina dewan.
Hukuman itu bermakna kehadiran kedua-dua ADUN pembangkang itu hari ini adalah yang terakhir bagi mereka bagi sesi persidangan semasa kerana penggalnya akan berakhir secara rasmi pada 24 Julai 2011.
DUN Sarawak bersidang dua kali setahun dengan persidangan pertama bermula pada Mei dan yang kedua pada November, selalunya bagi pembentangan bajet negeri.
Ng dikenakan tindakan itu oleh Speaker Dewan Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar selepas 53 ADUN mengundi menyokong tindakan itu, manakala tujuh menentang dan seorang tidak mengundi.
Beliau digantung kerana mengeluarkan perkataan "mahkamah kangaru" ketika persidangan Mei tahun lepas semasa dewan itu membahaskan usul bagi menerima pakai dapatan dan syor Jawatankuasa Hak Istimewa berkaitan Wong Ho Leng (DAP-Bukit Assek).
Ng berkata: "Ini mahkamah kangaru. Mari kita kira jumlah kangarunya. Lompatlah, lompat, lompat."
Bercakap kepada pemberita selepas dikenakan tindakan itu, Ng berkata beliau kecewa dengan keputusan tersebut kerana ia bermakna beliau tidak boleh menyuarakan masalah yang wujud di kawasan yang diwakilinya selama setahun dan perlu menunggu bermulanya penggal baru kerajaan baru untuk berbuat demikian.
Selepas itu, Chong, yang juga setiausaha DAP Sarawak DAP, menerima hukuman serupa apabila 54 ADUN mengundi menyokong tindakan penggantungannya dan enam menentang.
Chong didapati menghina dewan yang mulia itu pada Mei tahun lepas kerana mempertikai dan mencabar keputusannya berhubung tindakan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menggunakan khidmat pakar dari China bagi menjalankan kajian tentang projek tebatan banjir bagi bandar raya Kuching.
Beliau juga didakwa mempunyai niat tidak baik terhadap Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman apabila menuduh beliau secara tidak langsung menyebabkan seorang penjaja di Gambier Street membunuh diri.
- Bernama