Penasihat ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meraikan kunjungan delegasi pelabur dari Indonesia yang hadir untuk program satu hari di Selangor pagi esok.
Program tersebut adalah anjuran pejabat penasihat ekonomi dengan kerjasama Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC), bertempat di Bangunan SSIC, i-City Shah Alam.
Menurut satu kenyataan, program itu akan memberi penekanan khas kepada kerjasama serantau dalam usaha menjalinkan hubungan perniagaan antara delegasi perniagaan Indonesia, wakil nak syarikat dan dewan perniagaan Selangor. Ia akan dihadiri 50 peserta.
'Walaupun sedikit terkesan akibat kemelesetan ekonomi global, prestasi pelaburan yang meyakinkan pada 2009 memberi suntikan semangat kepada kerajaan negeri untuk terus mengganda usaha menarik pelaburan baru ke Selangor.
"Statistik tahun lepas menunjukkan RM6.76 billion jumlah pelaburan diterima manakala lebih 20,000 peluang pekerjaan diwujudkan, yang merupakan angka tertinggi di antara negeri di Malaysia," kata kenyataan itu lagi.
Program itu kemudian diteruskan dengan sesi jalinan perniagaan antara delegasi pelabur dari Indonesia dan wakil pelabur Selangor sebelum delegasi dibawa melawat ke Taman Sains Selangor 2 di Sepang yang merupakan kawasan perindustrian berteknologi tinggi.
"Selaras dengan fokus kerajaan negeri, penasihat ekonomi Selangor akan meneruskan usaha membawa masuk pelaburan terutamanya dari China, negara Asia Timur Tengah dan Eropah yang telah menunjuk minat yang tinggi terhadap peluang pelaburan di Selangor," tambah kenyataan itu.