Penduduk di Sibu tidak pernah menyaksikan hampir seluruh anggota Kabinet Persekutuan turun ke akar umbi berjumpa dengan rakyat, termasuk di rumah panjang dan kampung Melayu-Melanau.
Mereka hairan mengapa lebih daripada 20 orang anggota kabinet perlu turun padang untuk menumbangkan hanya seorang calon DAP?
Begitu kuatkah pengaruh pengerusi DAP Sarawak itu sehingga perdana menteri perlu turun ke bandar Foochow ini sebanyak tiga kali dalam tempoh yang relatif singkat. Itu belum lagi mengambil kira jumlah ahli politik dan menteri Sarawak, serta seluruh instrumen dan agensi kerajaan yang terpaksa dikerah untuk memujuk dan menundukkan pengundi di Sibu.
Memang ada sesuatu yang tidak kena dengan Barisan Nasional (BN) di kawasan yang mempunyai 54,695 pengundi ini.
Meskipun dikuasai mendiang Datuk Robert Lau, mantan Timbalan Menteri Pengangkutan dari parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) selama lima penggal sejak 1990, namun majoriti yang dimenanginya pada 2008 tidaklah begitu menggembirakan.
BN sedar akan risiko yang bakal ditanggung jika mereka tidak bekerja keras untuk menggerakkan seluruh jentera pilihan raya kali ini. Itulah sebabnya, segala langkah diambil untuk memujuk pengundi agar menyokong calon SUPP Robert Lau Jr.
Setiap kaum mempunyai rungutan dan masalah masing-masing.
Sebahagian besar daripada 8,665 pengundi Iban di rumah panjang kecewa kerana kerajaan dipersepsi meminggirkan mereka. Jika tidak, bagaimanakah sesudah lebih 45 tahun merdeka, masih ada yang merungut tidak menikmati bekalan air bersih, elektrik dan jalan berturap.
Iban hidup melarat
Menteri Persekutuan yang berjumpa dengan pengundi yang sebahagiannya miskin dan papa kedana terkejut melihat keadaan rumah panjang yang daif dan kehidupan sebahagian orang Iban yang melarat.
Melay u-Melanau di kawasan DUN Nangka pula kecewa dengan sikap wakil rakyat sehingga gagal memahami aspirasi dan masalah mereka.
Manakala 36,494 pengundi Cina pula mempunyai persepsi yang negatif terhadap dasar kerajaan yang dianggap tidak adil sehingga merugikan mereka dari segi pendidikan, ekonomi dan peluang pekerjaan di sektor swasta. Bagi mereka, kerajaan menganggap mereka seolah-olah anak tiri meskipun tinggal di bawah rumah yang sama.
Pada pillihan raya kecil parlimen Sibu sekurang-kurangnya 60 peratus daripada mereka dijangka menyokong DAP. DAP dilihat berani, lantang dan mampu menyuarakan kepentingan dan masalah mereka.
SUPP pula, yang dibelenggu oleh masalah dalaman yang belum selesai, dianggap gagal menyelesaikan masalah mereka. Malah, parti Cina Sarawak itu dikatakan tidak berani membangkitkan isu dan masalah yang dianggap sensitif, kerana takut menyinggung perasaan Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud, yang telah berkuasa selama 29 tahun.
Tidak hairanlah, antara kata-kata yang terdapat di kain rentang di bandar 270,000 penduduk ini ialah 'Undi SUPP = Undi Taib'. DAP menyifatkan kepemimpinan Taib semarak dengan nepotisme, kronisme dan penyelewengan, khususnya dari segi agihan sumber kekayaan negeri.
Pengundi Cina sebanyak 66.7 peratus sudah mendahului rakan mereka di Semenanjung dari segi pola pengundian.
Pada pilihan raya negeri 2006, enam kerusi SUPP terlepas ke tangan DAP kerana isu kenaikan harga minyak dan isu tanah yang dianggap merugikan mereka.
Masalah banjir
Mereka kecewa dengan kerajaan kerana gagal menangani masalah banjir di Sibu. Banjir kerap melanda bandar ini setiap kali hujan lebat. Bagi memujuk hati pengundi, sebanyak RM300 juta diperuntukkan untuk melaksanakan projek tebatan banjir.
M anakala isu ketiadaan universiti ditangani dengan rancangan untuk menaikkan taraf Kolej Laila Taib menjadi kolej universiti menjelang 2012.
Tetapi DAP mengkritik SUPP kerana menjual kolej itu kepada pihak Yayasan Sarawak dengan harga RM1, tanpa mempedulikan perasaan dermawan Cina yang telah menyumbang kepada kewujudan kolej itu.
Kehadiran Perdana Menteri, Timbalan Perdana, serta puluhan menteri dan timbalan menteri Persekutuan dan negeri, untuk menyelesaikan masalah rakyat menimbulkan pertanyaan.
Mengapakah masalah berkenaan seolah-olah hanya cuba diselesaikan menjelang pilihan raya?
Mengapakah kerajaan BN kelihatan begitu bermurah hati waktu berkempen?
Namun, sejauh manakah projek mi segera dan penyelesaian ala bomba memadamkan kebakaran itu, berjaya memujuk pengundi? Dalam tempoh 10 hari lalu, beratus-ratus juta ringgit nilai projek diumumkan bagi memujuk rakyat.
Melayu-Melanau kecewa
Alangkah hausnya pengundi di Sibu ini terhadap projek pembangunan walaupun slogan politik pembangunan Taib telah didendangkan sekian lama.
Hakikatnya, meskipun pengundi Iban dan Melayu-Melanau kecewa, mereka tetap merupakan pendukung kuat BN.
Dengan rekod yang tidak memihak kepada pembangkang dalam pilihan raya kecil selama ini dan sikap pengundi Bumiputera luar bandar yang begitu setia kepada kerajaan, dijangka sekitar 75 peratus daripada 40 peratus keseluruhan pengundi Bumiputera akan tetap menyokong BN.
BN begitu berjaya membenamkan ke dalam minda pengundi terbabit konsep kebergantungan sehingga minda mereka tertawan oleh BN. Golongan ini ialah pengundi tegar yang menganggap politik pembangunan masih relevan.
Politik penaungan masih mengambil tempat utama ketika mereka masih lagi memerlukan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, api dan jalan berturap. Sedangkan bagi pengundi Cina di bandar, isu berkaitan sudah lama diselesaikan.
Pengundi Cina lebih selesa bercakap tentang isu tadbir urus yang baik, ketelusan, rasuah, ekonomi, pendidikan dan isu nasional yang lain. Bagi pengundi Bumiputera di rumah panjang, isu ini terlalu abstrak dan tidak meninggalkan sebarang kesan.
Bergelut untuk hidup
Bagaimankah Pakatan Rakyat dapat mempengaruhi pengundi terbabit ketika sebahagian mereka masih bergelut untuk hidup?
Kem iskinan dan kesukaran mencari pekerjaan di Sibu-lah yang menjadi punca anak muda mencari peluang pekerjaan sejauh Singapura dan Kuala Lumpur. Siapakah yang mahu memerah tulang empat kerat di ladang kelapa sawit dengan gaji kurang RM20 sehari?
Hanya buruh asing terutama dari Indonesia yang sanggup melakukannya. Ketiadaan golongan muda di Sibu menguntungkan BN, kerana rata-rata, kerana pendidikan dan pendedahan kepada media alternatif, mereka menjadi anti-BN.
Jentera BN terlalu hebat untuk dilawan oleh Pakatan Rakyat. Laporan media tidak memihak kepada mereka, apatah lagi tiga akhbar tempatan dikaitkan dengan keluarga calon SUPP.
Dalam usaha menggempur pengundi dari semua penjuru di semua tempat oleh instrumen kerajaan dan BN, DAP dijangka berhalangan untuk menguasai kerusi ini sekali lagi.
Sumber, wang, jentera pilihan raya dan banyak lagi memihak kepada BN. Namun, kemenangan dengan majoriti undi yang merosot kali ini, tentu merupakan pukulan hebat ketika BN yang ingin melangkah ke gelanggang pilihan raya negeri dengan lebih yakin.
Penulis adalah bekas wartawan dan pengarang yang berpengalaman dan kini menjadi penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak. Beliau sedang mengikuti kempen pilihan raya Parlimen Sibu.