Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abim turut bantah lesen pertaruhan Piala Dunia
Diterbitkan:  May 13, 2010 3:03 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) membantah sekeras-kerasnya serta merasa amat kesal keputusan kerajaan memberi lesen pertaruhan perlawanan bolasepak Piala Dunia 2010.

"Abim menilai keputusan ini seakan tidak menghiraukan sensitiviti di kalangan masyarakat Islam di negara ini oleh pihak berkenaan serta dampak sosial yang diakibatkan dari keputusan tersebut," kata timbalan presiden Abim, Amidi Abdul Manan.

Abim, tambahnya, berpendirian bahawa keputusan kerajaan mengeluarkan lesen pertaruhan itu langsung tidak mempunyai sebarang justifikasi yang munasabah.

Sebaliknya, tegas Amidi, ia hanya bersifat untuk meraih keuntungan material jangka pendek yang boleh memberikan kesan negatif ke atas masyarakat dan negara.  

"Abim dengan ini menyeru kepada semua umat Islam untuk sama-sama membantah keputusan tersebut demi menjaga kesejahteraan setiap lapisan masyarakat di negara ini.

"Pihak Abim akan menggerakkan bantahan ini di seluruh negara bagi memastikan keputusan ini tidak dilaksanakan demi kesejahteraan semua pihak," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, kerajaan dilaporkan meneruskan  keputusannya untuk mengeluarkan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan walaupun dibantah banyak pihak.

Dalam kenyataannya petang semalam, Kumpulan Berjaya mengesahkan mendapat lesen tersebut, sekaligus membolehkan pertaruhan secara sah dilakukan sebelum kejohanan berprestij itu bermula pada 11 Jun ini.

Menurut Amidi lagi, tidak ada agama di dunia ini yang membenarkan serta menghalalkan perjudian.

Amidi berkata, ia ekoran impak negatif sosialnya yang secara langsung akan menyebabkan kemusnahan moral individu, institusi keluarga dan masyarakat serta mencemar imej Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

'Abim dengan ini menggesa dan bertegas agar kerajaan Malaysia menarik semula keputusan pemberian lesen pertaruhan ini demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan negara," tambahnya.

ADS