Lebih empat dekad peristiwa berdarah 13 Mei 1969 berlalu. Sejak sekian lama, rakyat Malaysia dihantui oleh memori ngeri tragedi hitam tersebut.
Esok genap 41 tahun berlakunya keganasan dan rusuhan kaum di di ibu negara Kuala Lumpur. Dan, mereka yang ditemui Malaysiakini, sepakata bahawa sudah tiba masanya untuk mereka melangkah meninggalkan memori hitam itu.
Ahli-ahli politik dari semasa ke semasa menggunakan taktik menakut-nakutkan rakyat dengan menyatakan bahawa ancaman rusuhan kaum boleh berulang dan seterusnya menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.
Dari sudut lain pula, ia juga membawa kepada langkah memperkukuhkan lagi undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Peristiwa itu juga melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 - yang dianggap sebagai jalan penyelesaian kepada masalah ketegangan kaum akibat pengagihan kekayaan negara yang tidak saksama, khususnya antara Melayu dan Cina.
Seorang saksi kejadian yang menyaksikan peristiwa berdarah itu ketika berumur 18 tahun memberitahu Malaysiakini, bahawa keadaan sudah berubah dan hubungan antara semua kaum juga kini semakin baik.
"Pembangkang pun sudah bergabung dan hubungan kaum telah menjadi lebih erat," kata seorang peniaga di Kampung Baru yang berusia 59 tahun.
Dengan mengambil contoh Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, peniaga itu berkata, mursyidul am PAS dan tokok agama itu, kini boleh "makan-makan" dengan orang Cina daripada DAP.
Katanya, contoh yang ditunjukkan oleh menteri besar Kelantan itu memberi kesan kepada masyarakat, di samping menunjukkan bahawa sikap perkauman sudah berlalu.
Satu lagi faktor mengapa tragedi 13 Mei tidak akan berulang lagi ialah kerana kini kebanyakan generasi muda tidak mengetahui mengenai peristiwa tersebut, tambahnya.
"Jika tahu pun mereka tidak berasa apa-apa kerana kurangnya semangat patriotik dan nasionalisme dalam diri mereka. Mereka hanya cuma mahu bekerja, mencari duit dan kemewahan kerana mereka tidak berada semasa kejadian itu dan tidak merasainya.
Sementara itu, seorang pekerja kedai alat ganti yang hanya mahu dikenali sebagai Teoh berkata, beliau masih ingat peristiwa 40 tahun lalu yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur.
Teoh, 67, berkata masih segar dalam ingatannya kereta yang lalu-lalang mundar-mandir ketika ketegangan kes tersebut.
"Ia sudah jadi sejarah. Semua ini sudah berubah sekarang," katanya.
Manakala seorang pelajar sekolah 17 tahun yang belum lahir ketika insiden tersebut berlaku, pula dilihat kesal dengan kejadian yang tidak sepatutnya berlaku itu.
Menurut Mohd Hafizin, perbalahan kaum pada masa ini walaupun masih ada, ia tidak menonjol.
Namun begitu, tambahnya, jika dilihat pada kesan peristiwa 13 Mei, isu tersebut tidak relevan lagi dibangkitkan semupa pada pada zaman kini.
"Peristiwa ini tidak akan berlaku lagi kerana walaupun orang ramai tidak gembira (dengan sesuatu dasar), mereka tidak akan bertindak ganas lagi," katanya.