Menteri Besar Selangor Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam berhubung dakwaan wujudnya rasuah di kalangan pegawai atasan dalam Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).
Menurut setiausaha akhbar kepada Khalid, Nik Nazmi Nik Ahmad pertemuan itu akan diadakan pada pagi esok bagi "membolehkan Manikavasagam membuat aduan secara rasmi", sekali gus mencari penyelesaian terbaik bagi isu itu.
"Seperti yang ditegaskan, Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mengamalkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbirannya serta menyokong semua usaha untuk membanteras rasuah di semua peringkat," kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan.
Hasil pertemuan pada pagi esok akan dibawa dalam perbincangan mesyuarat exco kerajaan negeri esok, tambahnya.
Manikavasagam sebelum ini dilaporkan mendakwa bahawa pegawai atasan KSSB mengamalkan terlalu banyak rasuah dan perkara itu perlu dibersihkan segera oleh Khalid.
Manikavasagam juga dilaporkan memberi masa 72 jam bermula kelmarin kepada Khalid untuk mengambil tindakan segera terhadap pegawai yang dimaksudkannya itu sebelum beliau mendedahkan nama pegawai yang terlibat.
Khalid sebaliknya pada hari yang sama dilaporkan meminta Manikavasagam mendedahkan nama pegawai atasan KSSB yang didakwanya dengan segera dan membuat laporan polis agar kerajaan negeri dapat mengambil tindakan sewajarnya.
Manikavasagam yang pada mulanya menyahut cabaran itu membatalkan hasratnya membuat laporan polis di Klang dan mendedahkan tiga nama pegawai atasan tersebut apabila 11 ahli parlimen PKR mencadangkan sebuah badan bebas bagi menyiasat dakwaan Manikavasagam itu.
Susulan mesyuarat kumpulan wakil rakyat itu di sebuah hotel di Ampang malam tadi, Manikavasagam berkata beliau membatalkan hasratnya membuat laporan polis terlebih dahulu.
"Mereka minta saya tungu dulu. Saya sedar teman-teman bersama saya (menentang rasuah), jadi saya tunggu dulu (untuk buat laporan polis).
"Semua dokumen (bukti) sudah ada dengan saya sekarang," katanya dalam sidang akhabar di depan ibu pejabat polis daerah (IPD) Klang padi tadi.
KSSB ditubuhkan oleh kerajaan di bawah pakatan pembangkang bagi mempelopori industri pasir dan bahan batuan serta mineral lain secara bersepadu di Selangor.
Ia menjadi misi utama KSSB untuk menjayakan Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).