Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS membantah penganjuran program membincangkan ekonomi dan penyatuan Melayu - dikenali sebagai Melayu Bangkit - sempena ulang tahun peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Naib presidennya Salahuddin Ayub berkata, berdasarkan laporan akhbar, program anjuran NGO Gerakan Kebangkitan Rakyat (GERTAK) itu menunjukkan program tersebut "berbahaya dan tidak sihat" kepada hubungan kaum di Malaysia.

NONE "Selepas lebih 50 tahun kita merdeka, bercakap tentang Satu Malaysia, masih hendak bangkitkan program yang berunsur perkauman?" katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 10,000 orang termasuk ahli-ahli 45 NGO Melayu dijangka menyertai program untuk membincangkan beberapa isu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.

Program anjuran GERTAK dengan kerjasama Institut Integriti Terengganu itu dianjurkan dalam usaha menyatupadukan orang Melayu yang semakin renggang dan membangkitkan kesedaran orang Melayu terhadap hak mereka.

Pengerusi Gertak, Razali Idris dilaporkan berkata, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucaptama pada majlis yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak pada 13 Mei ini.

Beliau dilaporkan berkata, tarikh itu dipilih untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah yang pernah berlaku pada tarikh tersebut.

'Razali memang orang Umno'

Dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara hari ini, Salahuddin turut mempersoalkan kenapa terdapat penglibatan sebuah cawangan agensi kerajaan Institut Integriti dalam program tersebut.

"Ketika institut ini memulakan langkah untuk mewujudkan integriti dalam negara, tiba-tiba dilibatkan dalam program yang sempit (sebegini).

NONE "(Kita) minta pengarahnya ambil tindakan. Institut ini tidak boleh digunakan untuk program yang ekstrim. Hentikanlah kejar perkara yang tidak berfaedah," katanya.

Hadir sama dalam sidang media itu Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Salahuddin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, kehadiran Mahathir ke program tersebut "amat malang sebagai seorang negarawan".

Sementara itu Mustafa berkata, beliau sendiri telah menghubungi pihak polis Terengganu dan pengurusan institut tersebut supaya mengambil perhatian terhadap program tersebut.

Kedua-dua mereka - Salahuddin dan Mustafa - mengesyaki terhadapat penglibatan Umno di belakang NGO tersebut.

"Razali ini memang orang Umno," kata Mustafa sambil menjelaskan bahawa presiden mereka sendiri Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah dicabar Razali di DUN Rhu Rendang dalam pilihan raya umum sebelum ini.

ADS