Pendengaran permohonan writ habeas corpus yang berkaitan dengan Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra oleh Mahkamah Khas di Putraya hari ini ditangguhkan kerana tidak cukup kuorum.
Hanya empat hakim menduduki panel hari ini, sedangkan Artikel 182 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan jumlahnya perlu mencukupi lima.
Peguam Gobind Singh Deo berkata ia ditangguhkan ke satu tarikh yang masih belum ditetapkan, bagi membolehkan seorang lagi hakim dilantik bagi mencukupkan kuorum di samping membolehkan para responden yang diwakili Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, menfailkan afidavit mereka.
Prosiding pada pukul 9.15 pagi yang berlangsung selama setengah jam dengan panel diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi itu diadakan secara tertutup selaras dengan Seksyen 14A peraturan Mahkamah Khas 1994.
Tiga lagi hakim terdiri daripada Hakim Besar Malays Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Linton Albert.
Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda, di bawah Artikel 182 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Panel lima orang Mahkamah Khas itu perlu terdiri daripada Ketua Hakim Negara yang juga bertindak sebagai pengerusi, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Hakim Besar Malaya, dan dua hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi yang akan dilantik oleh Mesyuarat Raja-raja.
Gobind Singh memberitahu media bahawa walaupun Sultan sudah dibenarkan keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian semalam, masih ada beberapa perkara yang mempunyai kepentingan awam, kepentingan nasional dan antarabangsa, yang perlu diselesaikan mahkamah.
Beliau adalah seorang daripada sekumpulan peguam yang menfailkan writ habeas corpus yang belum pernah difailkan di Mahkamah Khas, Jumaat lepas.
Permohonan itu disokong oleh satu afidavit oleh putera ketiga Sultan, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Writ itu difail bagi membolehkan Sultan Kelantan keluar dari hospital, dan membenarkan baginda mendapat rawatan perubatan mengikut pilihannya.
Sebelum ini Sultan Kelantan pernah menjalani rawatan selama sembilan bulan di Hospital Mount Elizabeth di Singapura sebelum kembali ke Kelantan Mac lepas.
- Bernama